• Oktober 18, 2021
  • 3115

JURUTERA DAERAH PITAS MENGIRINGI LAWATAN KERJA MENTERI KERJA RAYA SABAH KE PITAS

JURUTERA DAERAH PITAS MENGIRINGI LAWATAN KERJA MENTERI KERJA RAYA SABAH KE PITAS

Oleh Zulkifli Gapor

JKRS PITAS – En. Hadi Hamzah, Jurutera Daerah Pitas, hari ini mengiringi Datuk Seri Panglima Bung Moktar bin Radin, Timbalan Ketua Menteri I/Menteri Kerja Raya Sabah bersama YB Dato’ Seri Mahdzir bin Khalid, Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia, sempena program lawatan rasmi bagi Projek Bekalan Air Luar Bandar(BALB) dan Jalan Luar Bandar (JALB) di sini.

En. Hadi Hamzah, Jurutera Daerah Pitas(dua kiri) dan Azri bin Saflie, Ketua Penolong Pengarah Projek Luar Bandar(2 kanan)

Dalam lawatan itu, En. Hadi Hamzah, Jurutera Daerah Pitas telah memberi taklimat berkaitan dengan status terkini pelaksanaan Projek Jalan Luar Bandar(JALB) bagi RMK-11 dan senarai keutamaan naiktaraf jalan raya luar bandar bagi RMK-12.

Daerah Pitas yang berada 195 kilometer dari Kota Kinabalu dan 132 kilometer dari daerah Kudat mempunyai anggaran populasi penduduk lebih dari 45,400, berkeluasan 141,935 hektar. Mempunyai 6 buah mukim dengan 185 buah kampung. Kegiatan ekonomi dan sumber ekonomi utama adalah sektor perniagaan, sektor pertanian dan sektor perikanan.

TAKLIMAT..En. Hadi Hamzah, Jurutera Daerah Pitas memberi taklmat kepada menteri dan rombongan

“Projek dalam pembinaan pertama adalah projek menaiktaraf Jalan Mongkubou Laut, Pitas. Skop projek ini adalah menaiktaraf jalan sepanjang 27.0 km dengan standard JKR R2, pemulihan jalan diantara KM1 – KM6 sepanjang 1.5km dan pembinaan dua(2) buah jambatan”, kata Hadi semasa memberi taklimat.

“Terdapat isu berhubung dengan kawasan jajaran jalan yang terletak di kawasan rezab hutan simpan dan SAFODA. Bagaimanapun beberapa siri mesyuarat bersama pihak terlibat telah pun berjalan bagi mengatasi masalah tersebut”, kata Hadi.

Plan Lokasi Projek Luar Bandar (JALB)

Dalam taklimat berkaitan dengan Status Terkini Peleksanaan Projek JALB Daerah Pitas Bagi RM-11, En. Hadi Hamzah berkata terdapat dua(2) projek Pra Pembinaan dengan Kos RM91,000,000.00 iaitu Naiktaraf Jalan Kg. Salimpodon Mantus Pitas sepanjang lima(5) kilometer dan Naiktaraf Jalan Telaga Pitas sepanjang sepuluh(10) kilometer.

Satu(1) dalam Pembinaan dengan kos RM113,000,000.00 iaitu Naiktaraf Jalan Mongkubou Laut Pitas sepanjang 27 kilometer dijangka siap pada 22.09.2022.

Enam(6) projek yang telah Siap Sepenuhnya dengan kos RM224,040,888.00 iaitu Jalan Nibang (18 kilometer), Naiktaraf Jalan Kabatasan – Dandun Fasa 3, Jalan Ke Mesej Kg. Tukar (2km), Jalan Ke Mesej Kiandu (2km), Menaiktaraf Jalan Maringgan (7km) dan Jalan Dari Kg. Suang Duyung ke Kg. Tanjung Layang-layang (18.52km) yang masing-masing siap pada 29 April 2019, 24 Disember 2018, 8 Febuari 2019, 11 Mac 2019, 29 Ogos 2019 dan 14 Febuari 2020.

dan satu(1) KIV dengan kos RM5,000,000.00 iaitu Naiktaraf Jalan Kg. Mendamai Ke Kg. Pinapak (1.3km).

“Sepuluh Senarai Dalam Projek JALB Daerah Pitas bagi RMK-11 iaitu dua(2) projek dalam Pra Pembinaan, satu(1) dalam Pembinaan, enam(6) Siap Sepenuhnya dan satu(1) KIV menjadikan kos keseluruhan berjumlah RM433.040,888.00”, kata Hadi sebelum menamatkan sesi taklimat beliau.

Turut hadir dalam lawatan itu, Datuk Limus Jury, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah I, Datuk Mohd Jasmin bin Julpin, Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah dan pegawai kanan KKRS, Ir. Edward Lingkapo, Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah, Azri bin Saflie, Ketua Penolong Pengarah Projek Luar Bandar dan beberapa kakitangan kanan Kementerian Kerja Raya Malaysia.