• Disember 26, 2023
  • 170

Sambutan Hari Natal, Akhir Tahun dan Apresiasi JKR Kudat 2023

Sambutan Hari Natal, Akhir Tahun dan Apresiasi JKR Kudat 2023

KUDAT, 22 DIS – Tiga sambutan diraikan dalam satu majlis menjadi bukti semangat kebersamaan yang tidak pernah luntur dalam kalangan warga kerja JKR Kudat, meskipun berbilang kaum dan agama yang bertugas di bawah bumbung yang sama.

Hal ini bersangkutan dengan konsep Malaysia Madani yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri Malaysia sebagai strategi tata kelola pentadbiran yang berkesan dalam sesebuah jabatan.

Sambutan Hari Natal, Akhir Tahun dan Apresiasi JKR Kudat 2023 yang diraikan baru-baru ini menjadi penanda aras dalam memupuk semangat perpaduan sekaligus mengelak sikap rasis dalam kalangan warga kerja.

Majlis yang berlangsung pukul 10.00 pagi di Ruang Legar Pejabat JKR Kudat, dimulakan dengan acara cabutan bertuah, diikuti ucapan pesara dan kakitangan yang berpindah iaitu Puan Nuranah Osman dan En. Datu Mustafa Kamal Datu Abdul Kadir.

Seterusnya, ucapan daripada Tuan Hilmy Hamid, Jurutera Bahagian yang menyimpulkan penganjuran majlis sedemikian sebagai satu usaha baik dalam memperkukuh keakraban dan sinergi antara warga kerja.

Beliau juga merakam apresiasi kepada pesara serta kakitangan yang bakal meneruskan komitmen di tempat baharu, termasuklah mengalu-alukan kedatangan ahli keluarga baharu dalam JKR Kudat.

Seusai itu, sesi bertukar hadiah yang diberi nama “Putaran Roda Impian” berlangsung secara digital bersesuaian pada marcapada sebelum sesi santapan juadah tengah hari, kemudian sesi cabutan bertuah sesi kedua.

Majlis yang berlangsung secara sederhana itu melabuhkan tirai pada pukul 12.30 tengah hari dengan cabutan bertuah bagi sesi terakhir dan seterusnya aktiviti selingan iaitu balingan bola bertuah di luar perkarangan pejabat.

Kesungguhan warga kerja yang memperagakan baju etnik mengikut tema etnik kontemporari juga tidak ketinggalan menerima “Best Dressed Award” yang dimenangi oleh Ts. Mohd Zamree Tomy, manakala kategori wanita diberikan kepada Sitti Radzuella Ebung.