• Januari 11, 2024
  • 162

Sambutan Krismas & Pertandingan Dart 2023

Sambutan Krismas & Pertandingan Dart 2023

KOTA KINABALU, 15 DIS 2023 – Sambutan Perayaan Krismas telah diadakan di pejabat Cawangan Utiliti & Alam Sekitar. Sambutan tersebut juga digabungkan dengan satu (1) pertandingan sukan iaitu Pertandingan Dart CUAS 2023 selaras dengan salah satu (1) daripada lima (5) teras cawangan tersebut iaitu ‘Sukan & Rekreasi’ yang telah diperkenalkan oleh Ketua Penolong Pengarah (KPP) cawangan itu sendiri iaitu Encik Mohd. Hardy Bin Laidin.

Sambutan Perayaan Krismas itu dimulakan pada jam 9:30 pagi didahului dengan ucapan alu-aluan Ketua Penolong Pengarah (KPP) CUAS, Mohd. Hardy Bin Laidin. Menurut beliau setiap sambutan perayaan yang terdapat di negara ini haruslah dihormati dan kunci keharmonian terletak pada sikap bertolak ansur dan toleransi antara satu sama lain. Sikap ini harus dipupuk dan disemai di dalam diri khasnya di kalangan kakitangan cawangan ini.

Seterusnya, pengacara program iaitu Encik Ashraff Bin Kibin dan Encik Ghadafi Bin Sabardin meneruskan program tersebut dengan acara Sambutan Hari Ulang Tahun bagi kakitangan cawangan yang lahir pada bulan November dan Disember bagi Puan Helvie Mansuit, Puan Dayang Maslinah dan Puan Dezoura Delfy. Acara itu disempurnakan dengan acara nyanyian lagu ‘Selamat Hari Jadi’ dan diikuti dengan acara pemotongan kek serta sesi bergambar.

Sebaik sahaja acara Sambutan Hari Jadi itu selesai, program tersebut diteruskan dengan bacaan doa makan yang dipimpin oleh Encik Ashraff Bin Kibin sebelum menjamu selera.

Setelah selesai acara menjamu selera, pengacara program meneruskan lagi program tersebut dengan menjemput semua kakitangan untuk berkumpul semula untuk acara yang ditunggu-tunggu iaitu acara Secret Santa dimana pemberian hadiah dilakukan antara kakitangan CUAS. Suasana girang dan meriah dapat dirakamkan dengan pelbagai gelagat kakitangan CUAS sepanjang acara tersebut berlangsung. Acara ini berpotensi menyemai sikap menghargai antara satu sama lain disamping memupuk sikap suka memberi.

Acara diteruskan dengan Pertandingan Dart CUAS 2023 yang dipengerusi oleh Encik Alexius. Pertandingan tersebut disertai dengan penuh kemeriahan oleh semua kakitangan CUAS. Encik Alexius sempat memberi serba sedikit penerangan iaitu pertandingan tersebut merupakan ‘301’ yang dipertandingkan secara satu (1) lawan satu (1), di mana peserta yang berjaya menurunkan markahnya kepada sifar dahulu, akan menjadi pemenang. Pertandingan itu dijalankan sebanyak empat (4) pusingan.

Perlawanan akhir adalah di antara Encik Gregory dengan Encik Ermieza, di mana Encik Gregory telah berjaya menewaskan Encik Ermieza dalam hanya 3 pusingan. Tahniah diucapkan kepada Gregory D.S Pilau yang mendapat piala dengan hamper yang bernilai RM70. Acara sukan Dart turut diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah oleh Encik Alexius. Hamper – hamper yang bernilai RM50 (1 unit) dan RM30 (2 unit) juga telah dihadiahkan kepada pemenang tempat kedua, ketiga serta keempat yang telah ditaja ikhlas oleh KPP CUAS, Encik Mohd. Hardy Bin Laidin.

Hasil daripada itu, acara tersebut telah berjaya mengeratkan hubungan silaturahim dan memupuk budaya persaingan sihat antara kakitangan CUAS.