• Januari 11, 2024
  • 154

Team Building, Cawangan Utiliti & Alam Sekitar

Team Building, Cawangan Utiliti & Alam Sekitar

TAMPARULI, 09 DIS 2023 – Cawangan Utiliti & Alam Sekitar (CUAS), telah menganjurkan aktiviti Team Building untuk tahun 2023yang diadakan di Kiulu, Tamparuli sebagai insentif dalam salah satu daripada lima teras cawangan iaitu Sukan & Rekreasi.

Program tersebut dihadiri oleh semua ahli kakitangan cawangan bersama fasilitator yang dijemput daripada cawangan dan agensi kerajaan negeri lain. Fasilitator yang dijemput adalah Maryani Mokhtar (JKR Bandaraya), Brenda Mellonie Johhny Takom (Cawangan Penyenggaraan Jalan), Nur Izyan Syazwan Bt. Julkifli (Cawangan Senggara Bangunan) dan Rozelyne Sandar (Jabatan Ketua Menteri).

Aktiviti tersebut bermula seawal 7:00 pagi di White Water Rafting Starting Point, Kiulu yang dirasmikan oleh Mohd. Hardy Bin Laidin, Ketua Penolong Pengarah (KPP), Cawangan Utiliti & Alam Sekitar. Menurut ucapan beliau, aktiviti ini merupakan masa yang terbaik untuk meningkatkan kerjasama antara kakitangan.

Kakitangan CUAS di bahagikan kepada 2 kumpulan. Kumpulan tersebut diminta untuk membuat nama kumpulan, bendera kumpulan beserta yell. Hasil perbincangan kumpulan-kumpulan tersebut melahirkan Kumpulan Alpha & Brave.

Selepas aktiviti tersebut, peserta Team Building bersama fasilitator menyertai aktiviti berakit di Sungai Kiulu sepanjang 7KM bermula daripada Kg. Pukak sehingga Pekan Kiulu. Sebelum aktiviti tersebut, peserta diberi taklimat keselamatan mengenai berakit dan dibahagikan lagi kepada 4 kumpulan mengikut rakit yang disediakan.

Aktiviti diteruskan lagi dengan aktiviti berkumpulan ke-dua, iaitu aktiviti berkumpulan – mencipta baju daripada surat khabar lama dan alam sekitar. Kedua-dua Kumpulan menunjukkan semangat dan dedikasi yang mendalam dalam mencipta baju – baju tersebut. Kumpulan Alpha menggunakan daun kelapa dalam ciptaan baju manakala kumpulan Brave menggabungkan elemen daun kering dalam ciptaan mereka.

Aktiviti berkumpulan ke-tiga merupakan aktiviti yang mempunyai target untuk memecahkan belon pihak kumpulan lain dengan memijak belon tersebut yang diikat di buku lali setiap ahli kumpulan. Manakala aktiviti berkumpulan ke-empat berfokuskan usaha setiap ahli kumpulan untuk mengangkat cawan kertas menggunakan belon yang ditiup di mulut (tanpa menggunakan tangan) dan seterusnya menyusun cawan-cawan tersebut.

Acara terakhir program Team Building tersebut adalah acara penyampaian hadiah dan cenderamata kepada pemenang dan fasilitator program. Kumpulan Brave memenangi kumpulan terbaik, Tuan Alexius Tan memenangi best man, manakala Puan Helvie memenangi best lady.

Acara disempurnakan dan diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Mohd. Hardy Bin Laidin, KPP, CUAS. Semua peserta dan fasilitator program kemudian balik ke destinasi masing-masing sekitar jam 4:00 petang.