• April 5, 2024
  • 111

Jelajah Ramadan JKR Zon Selatan

Jelajah Ramadan JKR Zon Selatan

LAHAD DATU, 1 APR – Program Jelajah Ramadan JKR Sabah pada tahun ini akhirnya melabuhkan tirai di Zon Selatan yang mana JKR Lahad Datu telah menjadi tuan rumah yang menggabungkan 4 daerah di Zon Selatan iaitu JKR Tawau, JKR Semporna, JKR Kunak dan JKR Lahad Datu.

Program Jelajah Ramadan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 4.30 petang telah dapat dijalankan dengan jayanya. Majlis ini disertai oleh Yang Di-Pertua Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kerja Raya Sabah, Hardi bin Laidin, Timbalan Pengarah Sektor Khidmat dan Teknikal, Hafez bin Shabuddin, Timbalan Pengarah Sektor Pan Borneo, Mohd Shamsul Nizam bin Abdul Wahid, Dif-Dif Terhormat, Jurutera Bahagian, Jurutera Daerah, konsesi dan para kakitangan JKR Lahad Datu.

Program ini telah diketuai oleh Ridzuan @ Bennie bin Asli dan beberapa ahli jawatankuasa yang lain. Beberapa mesyuarat telah diadakan bagi mengenalpasti masalah dan kelemahan serta perkembangan tugasan masing-masing. Pasukan ini telah bertungkus-lumus selama beberapa minggu dalam menyediakan kemudahan yang terbaik agar semua tetamu dan jemputan selesa dan dapat menikmati perjalanan majlis dengan gembira dan tenang.

Seramai 30 orang anak yatim yang diiringi oleh 5 orang guru telah dijemput untuk turut serta dalam majlis ini. Antara objektif program ini adalah untuk membantu golongan-golongan kurang berkemampuan dan bernasib baik bagi meringankan beban mereka, meraikan anak-anak kesayangan ini dan menggembirakan mereka. Program ini juga diharap dapat mendidik dan mewujudkan sikap prihatin dan penyayang dalam kalangan warga JKR.

Selain itu, antara pengisian dalam program ini ialah ucapan dan kata-kata aluan dari Yang Di-Pertua Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kerja Raya Sabah, Hardi bin Laidin dan Timbalan Pengarah Sektor Khidmat Teknikal, Hafez bin Shabuddin, bacaan tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Muhammad Ihsan bin Mohd Shukri, persembahan Qasidah dari anak-anak kesayangan Madrasah Mahabbah, iftar, penyampaian sumbangan kepada anak-anak kesayangan Madrasah Mahabbah, sesi bergambar serta solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah serta Solat Sunat Terawih yang diadakan di pejabat JKR Lahad Datu.

Majlis berakhir pada pukul 8.30 malam dan majlis telah berjalan dengan lancar dalam cuaca yang baik. Semua program yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan jayanya. Program ini sedikit-sebanyak dapat merealisasikan hasrat kerajaan dalam membentuk warganegara yang mempunyai nilai murni yang tinggi, saling menghormati dan bertoleransi antara satu sama lain tanpa mengira kaum dan agama, pangkat dan jawatan.