KOTA KINABALU, 04 OKT – Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) yang turut di hadiri oleh Timbalan Ketua Menteri III Sabah, Datuk Ir. Shahelmy Yahya, merangkap Menteri Kerja Raya Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Menurut Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata tempoh pembinaan bagi Pakej Kerja Fasa 1B dijangka mengambil masa antara 36 hingga 48 bulan dan kos pembangunan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan.
Pakej Kerja Fasa 1B itu merangkumi Jajaran Barat Laut : Pakej Kerja 11-14 ( Kota Belud ke Kudat), Jajaran Tenggara : Pakej Kerja 16-20 (Tawau ke Lahad Datu), Jajaran Timur Laut : 22-26 (Lahad Datu ke Sandakan) dan Jajaran Tengah : 31-35 (Telupid ke Ranau).

Dalam ucapannya, YB Menteri Kerja Raya mengingatkan kepada semua kontraktor yang terlibat untuk memberi penekanan kepada penyampaian projek berkesan dengan piawaian berkualiti tinggi, memenuhi keperluan projek, kos, dan tarikh akhir, sambil mengutamakan keselamatan di tapak kerja.

Seramai 13 kontraktor telah menerima surat setuju terima (SST) bagi melaksanakan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1B dan kerja pembinaan di semua jajaran terbabit boleh dimulakan pada bila-bila masa setelah syarikat kontraktor yang dilantik menerima Surat Setuju Terima masing-masing.

