Jabatan Kerja Raya Sabah

PERUTUSAN PENGARAH KERJA RAYA SABAH


TN. PHILEMON LAJAWAI


PENGARAH KERJA RAYA SABAH

WARGA JABATAN KERJA RAYA

SALAM SEJAHTERA

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru 2023 kepada seluruh warga kerja JKR Sabah. Penghargaan dan ucapan terima kasih saya kepada seluruh warga kerja Jabatan atas segala sumbangan, usaha, dan komitmen dalam melaksanakan tugas –tugas yang diamanahkan sepanjang tahun 2022. Semoga kecemerlangan dan kejayaan akan sentiasa mengiringi kita serta berjanji memberikan perkhidmatan yang terbaik melalui budaya kerja berprestasi tinggi dan budaya pengurusan tepat demi Jabatan yang kita cintai. InsyaAllah. Bagi mencapai Visi “JKR Sabah bertekad untuk menjadi sebuah organisasi teknikal yang dihormati dan disegani dalam pembangunan infrastruktur” kita akan memastikan Jabatan akan sentiasa berupaya menyediakan prasarana fizikal yang teguh dan optimum seterusnya dapat menaiktaraf pembangunan sosio ekonomi Negeri Sabah. Kita seharusnya tidak berada pada posisi selesa dan berpuas hati dengan pencapaian atau usaha yang telah lalu, tetapi seharusnya beriltizam memperbaiki segala kelemahan demi mencapai lebih kejayaan pada masa hadapan. Oleh itu, saya menyeru agar seluruh warga JKR di Cawangan, Bahagian dan Daerah untuk bertindak sebagai satu pasukan dan merealisasikan perpaduan sebenar bagi menaikkan nama Jabatan. Tidak dapat dinafikan isu dan cabaran yang perlu dihadapi oleh Jabatan dalam merancang dan melaksana projek-projek agar selaras dengan visi dan misi jabatan. Maka dengan itu, semua projek-projek yang dirancang dan dilaksana itu perlu diurus dengan teliti bagi memastikan ianya bukan hanya relevan dengan keperluan, tetapi juga berkualiti cemerlang. Sebagai contoh, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo adalah terbahagi kepada tiga(3) fasa iaitu sepanjang 1,236 kilometer dan dijangka mampu merangsang pembangunan dan pertumbuhan kawasan-kawasan ekonomi seperti perumahan dan komersial baharu di sepanjang lebuhraya tersebut. Seperti yang telah ditekankan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Haji Safar Untong, semua warga JKR perlu menjalankan tugas dengan penuh integriti dan ikhlas melalui amalan budaya berintegriti agar melahirkan warga kerja yang lebih efisien, produktif dan beretika. JKR Sabah dengan itu, telah menyediakan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kerja Raya Sabah 2022-2026 yang merupakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi bertujuan untuk menangani permasalahan dan kelemahan governans, integriti dan antirasuah dalam organisasi. Akhir kata, setinggi-tinggi ucapan terima kasih saya zahirkan kepada seluruh warga JKR atas segala usaha, komitmen dan khidmat bakti sepanjang tahun 2022. Semoga segala aktiviti, program dan projek yang telah dirancang pada tahun 2023 dapat dilaksanakan dan disiapkan mengikut ketetapan tempoh, mencapai objektif dan mematuhi peraturan semasa yang berkuat kuasa. 
 “Berkhidmat dengan cemerlang untuk rakyat dan generasi akan datang”

TN. PHILEMON LAJAWAI
PENGARAH KERJA RAYA SABAH