Jabatan Kerja Raya Sabah

LATAR BELAKANG

Berdasarkan kepada dokumen yang diarkibkan, Jabatan Kerja Raya Sabah telah ditubuhkan sejak era Syarikat Berpiagam Borneo Utara (British North Borneo Chartered Company) lagi iaitu pada 1hb. November 1881. Jabatan Kerja Raya pada ketika itu hanya diberikan peranan kecil dalam bidang infrastruktur memandangkan ketika itu, sistem rangkaian utama perhubungan adalah menggunakan pelabuhan sebagai jalan masuk perdagangan dan sistem rangkaian keretapi digunakan sebagai penghubung utama antara daerah-daerah.

Ketika itu, Jabatan hanya diketuai oleh seorang Penguasa Kerja dan berperanan sebagai agensi sokongan kepada Syarikat Berpiagam Borneo Utara. Salah seorang daripada Penguasa Kerja yang dikenalpasti berkhidmat dengan Jabatan Kerja Raya ketika itu ialah Mr. E.A. Pavit pada tahun 1896. British North Borneo Company telah dibubarkan oleh Kerajaan British pada tahun 1930 dan Negeri Borneo Utara (State of North Borneo) dibentuk sebagai British Protected State. Negeri Borneo Utara ditadbir oleh seorang Gabenor.

Pentadbiran Negeri Borneo Utara (British Protected State) telah dibubarkan pada 10hb. Julai 1946 melalui Letter of Patent and Royal Order dan State of Borneo telah diletakkan sebagai Crown Colony di bawah pemerintahan Ratu British dan ditadbir oleh seorang Gabenor.

Pada tahun 1948, Jabatan Kerja Raya atau Public Works Department telah diberi peranan yang lebih besar apabila diwujudkan sebagai satu jabatan yang dipertanggungjawabkan sebagai pelaksana pembangunan infrastruktur yang dirancang oleh Kerajaan. Pengarah Kerja Raya juga dilantik sebagai penasihat kepada kepada Gabenor dalam soal pembangunan infrastruktur dan menjadi ahli tetap dalam Majlis Penasihat Negeri.

Mr. P. O. Cornell telah dilantik sebagai Pengarah Kerja Raya yang pertama untuk mengetuai Jabatan Kerja Raya. Di antara perancangan awal beliau adalah untuk mewujudkan jaringan hubungan antara daerah melalui jalanraya. Kepakaran dan jentera juga telah dibawa masuk oleh kerajaan British bagi melaksanakan kerja-kerja yang telah dirancang. Selain itu, rakyat tempatan juga diambil bekerja.

Di antara pelaksanaan kepada perancangan awal beliau adalah termasuk pembinaan jalanraya dari utara ke selatan, dari timur ke barat dan pedalaman. Di samping itu, Jabatan Kerja Raya diberi peranan untuk melaksanakan kerja-kerja pembinaan landasan kapal terbang, hospital, jambatan, pelabuhan, dan bangunan pejabat-pejabat kerajaan.



Bahan Rujukan:

Buku Sejarah Bergambar Negeri Sabah

Buku Laporan Jabatan 1948 hingga 1950

Buku Laporan Tahunan State of North Borneo 1946 hingga 1963