1

KEPAYAN, 4 MAC 2025 – Persatuan Kakitangan Islam JKR Sabah telah menganjurkan Program Jelajah Ramadhan bermula di JKR Bandaraya Kota Kinabalu yang disempurnakan oleh Pengarah Kerja Raya, Datuk Philemon Lajawai.

Majlis pada petang itu dimulai dengan ucapan alu-aluan daripada Jurutera Bahagian Kota Kinabalu, Ts. Zulkefli bin Salip Arjud mengucapkan terima kasih di atas kerjasama yang diberikan oleh Jurutera Daerah Tuaran, Jurutera Daerah Penampang, Jurutera Daerah Papar dalam menjayakan majlis berbuka puasa itu.

Menurut Yang di-Pertua Persatuan Kakitangan Islam JKR Sabah, Mohd. Hardy bin Laidin, penglibatan dalam persatuan itu dapat memberikan cerminan yang baik dan menerapkan nilai-nilai murni dalam jabatan. Beliau menambah, aktiviti persatuan juga mampu memupuk nilai-nilai persaudaraan tanpa memilih agama dan bangsa dengan menyantuni golongan asnaf yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan. Beliau menyeru setiap ahli menyegerakan pembayaran yuran agar dapat memperbanyak dan melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang.

Pengarah Kerja Raya, Datuk Philemon Lajawai berkata, program sedemikian dapat mengeratkan lagi hubungan di kalangan kakitangan di samping dapat membantu golongan kurang upaya seperti anak yatim dan ibu tunggal.

Beliau mengingatkan visi Jabatan Kerja Raya Sabah juga berhasrat untuk memastikan JKR sabah masih relevan dan ke hadapan dalam pembinaan infrastruktur negeri Sabah serta mengangkat JKR Sabah ke tahap yang lebih baik.

Turut hadir, Timbalan-timbalan Pengarah Kerja Raya, Jurutera Daerah Tuaran, Hjh Farini Awang, Jurutera Daerah Papar, Ir. Mohd Ibni bin Abdul Sabul, Rumah Kanak-kanak Kg Beringis dan Rumah Kanak-kanak Kota Kinabalu serta kakitangan JKR Bandaraya.

About The Author