KOTA KINABALU, 14 & 15 OGOS – Bengkel Pengisian Data MARRIS Online Secara Hands-On Tahun 2025 di peringkat negeri Sabah telah diadakan selama 2 hari bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu. Bengkel tersebut dianjurkan oleh Cawangan Penyenggaraan Jalan, JKR Sabah dan dihadiri oleh para pegawai dari Kementerian Kewangan Negeri Sabah, Majlis Perbandaran, Majlis Daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran, Pejabat Daerah dan JKR Daerah di seluruh Sabah. Seramai 120 orang peserta yang hadir menjayakan bengkel tersebut.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Datuk Ir. Philemon Lajawai selaku Pengarah Kerja Raya Sabah. Dalam ucapan perasmian, beliau menekankan komitmen negeri Sabah dalam memastikan pendaftaran koordinat GPS selesai sepenuhnya sebelum migrasi data ke dalam sistem MyInfra tahun depan. Selain itu, beliau turut berharap agar usaha pemurnian daftar jalan di negeri Sabah dapat berjalan dengan lancar.


Penceramah-penceramah jemputan terdiri daripada Muhammad Azlan bin Zakaria, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Belanjawan Negara (NBO), Ts. Siti Maizatulharmi dari Cawangan Senggara Fasiliti Jalan, JKR Malaysia dan Rapi’ah binti Ibrahim dari Bahagian Teknologi Maklumat (BTM), Kementerian Kewangan Malaysia telah menyampaikan pembentangan. Selain itu, Ir. Ts. Brenda J. Takom dari Cawangan Penyenggaraan Jalan, JKR Sabah turut sama membentangkan mengenai hala tuju pemurnian daftar jalan di Sabah.


Ucapan penutupan telah disampaikan oleh Mohd Hardy bin Laidin @ Saidin, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyenggaraan Jalan. Beliau berterima kasih atas komitmen dan usaha pihak penganjur bersama para peserta sepanjang bengkel berlangsung. Beliau menggesa agar amalan pengisian data jalan yang tepat, lengkap dan terkini diteruskan oleh semua agensi pelaksana sebelum menutup bengkel tersebut secara rasmi.

