KOTA KINABALU, 18 & 19 OGOS – Bersempena sambutan bulan kemerdekaan, demi menyemarakkan semangat patriotik, Cawangan Penyenggaraan Jalan selaku urus setia telah memulakan mesyuarat dengan mengimbau kembali detik – detik bersejarah tanah air. Mesyuarat Pengurusan Jalan (Road Management Meeting) dan Mesyuarat Pemantauan Konsesi (Concessionaire Monitoring Meeting) Bil. 4 tersebut telah diadakan di Dewan Kinabalu, Ibu Pejabat JKR Sabah.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Datuk Ir. Philemon Lajawai selaku Pengarah Kerja Raya Sabah yang mana turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Sektor Jeraya, Baharuhom bin K.K Sogon dan Timbalan Pengarah Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam bin Abdul Wahid.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyenggaraan Jalan, Jalanraya, Lebuhraya, Cerun, Trafik dan Pengangkutan, Makmal dan Penyiasatan Tapak, Jambatan, Lebuhraya Pan Borneo, Projek Jalan Luar Bandar, Audit Dalam, Piawaian & Kualiti, Akaun, Pembangunan dan Korporat serta Ketua Penguasa Stor. Selain daripada itu, jurutera – jurutera bahagian dan daerah juga turut hadir bagi mengemukakan isu – isu di tapak berkenaan penyenggaraan jalan di daerah masing – masing.


Terdapat tiga (3) pembentangan yang telah disampaikan semasa mesyuarat dijalankan. Pembentangan pertama adalah daripada pihak Syarikat Elegant Aspire Sdn Bhd yang bertajuk “ICT Management System for JKR Sabah”. Pembentangan yang kedua adalah bertajuk “Glassgrid and Geogrid Technology” dibentangkan oleh Ir. Eric Chong dan pembentangan yang ketiga pula disampaikan oleh Mohd Faez bin Hadi bertajuk “Permurnian dan Hala Tuju MARRIS Online Negeri Sabah”.


Mesyuarat Pemantauan Konsesi pada hari kedua pula dihadiri oleh Syarikat Konsesi Lintasan Resources Sdn Bhd dan Globinaco Sdn Bhd. Selain itu, mesyuarat turut dihadiri oleh syarikat kontraktor penyenggaraan jalan luar bandar iaitu YTO Group Sdn Bhd, DCTF Group Sdn Bhd dan JH Cinta Mata Sdn Bhd. Dalam mesyuarat tersebut, pihak syarikat konsesi dan kontraktor telah melaporkan kemajuan kerja penyenggaraan bagi jalan negeri dan persekutuan setakat tahun semasa.


