1

KOTA MARUDU, 27 OGOS – Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Marudu telah mengadakan Program Gotong- royong dan memasang bendera sempena sambutan bulan kebangsaan yang diadakan di kawasan pejabat JKR Kota Marudu.

Program ini diadakan bertujuan untuk mengeratkan hubungan sesama warga JKR Kota Marudu serta memperkukuhkan semangat kerjasama dan tanggungjawab dalam menjaga kebersihan kawasan tempat kerja. Ia juga merupakan satu platform santai untuk berinteraksi bersama Jurutera Daerah dalam suasana tidak formal.

Program dimulakan seawal jam 8.30 pagi dengan nyanyian lagu kebangsaan Negaraku dan lagu rasmi negeri Sabah Tanah Airku. Seterusnya, Jurutera Daerah JKR Kota Marudu, Ts. Mohd Fauzi Zikiri telah menyampaikan ucapan alu-aluan dan menyuntik semangat kebersamaan dalam kalangan kakitangan.

Selepas ucapan, sesi sarapan pagi diadakan secara santai, diikuti dengan aktiviti pemasangan bendera di kawasan pejabat. Aktiviti utama diteruskan dengan gotong-royong membersihkan kawasan pejabat, termasuk ruang kerja, kawasan tempat letak kereta dan persekitaran luar bangunan.

Program ini bukan sahaja memberi impak positif dari aspek kebersihan, tetapi turut mengukuhkan semangat kekeluargaan dalam organisasi. Diharap aktiviti sebegini dapat diteruskan secara berkala sebagai sebahagian daripada budaya kerja positif di JKR Kota Marudu.

Program berakhir sekitar tengah hari dan berjalan dengan lancar, penuh kerjasama serta semangat kekitaan yang tinggi.

About The Author