MENUMBOK, 6 NOV – Menumbok kini mempunyai mercu tanda baharu umat Islam apabila Masjid Nur Ihsan, Daerah Kecil Menumbok telah dirasmikan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah.


Masjid ini siap dibina pada 27 Mac 2025 dengan kos keseluruhan RM3.28 juta, berkeluasan 7,000 kaki persegi dan mampu menampung lebih 800 jemaah pada satu masa.
Antara kemudahan yang disediakan termasuk dewan solat utama, ruang kuliah, pejabat pentadbiran, rumah wuduk, bilik pengurusan jenazah, tandas, serta kawasan tempat letak kenderaan yang luas dan selesa bagi kemudahan para jemaah.
Majlis turut menyaksikan taklimat ringkas oleh Darryl Ian Joinol, Jurutera Daerah JKR Kuala Penyu, mengenai pembinaan masjid, serta upacara menandatangani plak perasmian oleh Ketua Menteri Sabah sebagai simbolik perasmian rasmi.



Turut hadir ialah Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, JP, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Limus Jury, Pengarah Yayasan Limus Jury, Nelson Domil Oluk, Pegawai Daerah Kuala Penyu, dan Hasnita binti Noorzain, Penolong Pegawai Daerah Kecil Menumbok, bersama beberapa lagi tetamu kehormat dan pegawai kerajaan.

Masjid ini diharap menjadi pusat ibadah, ilmu dan perpaduan masyarakat, serta simbol kemajuan dan kesejahteraan umat Islam di Menumbok.

