KOTA KINABALU, 5 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menyerahkan secara rasmi Projek Pusat Pakar Pergigian Sabah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu majlis penyerahan yang disempurnakan dengan kehadiran Yang Berhormat Dato’ Lukanisman bin Awang Sauni, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia.

Pusat ini terletak di Jalan Family Planning, berhampiran Bangunan Sabah Family Planning Association dan Bangunan Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya. Pembinaan projek ini telah bermula pada 6 Disember 2019 dan telah siap sepenuhnya pada 5 Ogos 2025 dengan kos keseluruhan sebanyak RM32.8 juta. Keluasan tapak projek adalah 1.54 ekar dengan luas bangunan yang telah dibina adalah 2,031m2.


Pusat Pakar Pergigian Sabah ini bertujuan untuk menyediakan sebuah fasiliti pergigian pakar berasaskan bukan hospital yang merangkumi empat disiplin kepakaran utama, iaitu Ortodontik, Periodontik, Pergigian Restoratif dan Kesihatan Pergigian Awam.
Fasiliti ini dijangka akan dapat memberikan impak yang positif kepada sistem kesihatan pergigian negeri, termasuklah dapat menjadi pusat rujukan pakar bagi fasiliti pergigian di seluruh Sabah serta pesakit dari Labuan dan Sarawak. Di samping itu, kewujudan fasiliti ini turut dapat memperkasakan penyampaian rawatan pergigian yang komprehensif, berkualiti dan berkesan.



Turut hadir ialah Dato’ Sri Zahrul Hakim bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Kewangan TKSU (K) JUSA A, Dr. William Gotulis, Pengarah Kesihatan Negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Ir. Evelyn Pius, Timbalan Pengarah Sektor Bangunan JKR Sabah, bersama beberapa lagi tetamu kehormat dan pegawai kerajaan.
Dengan penyerahan rasmi ini, Pusat Pakar Pergigian Sabah kini bersedia untuk beroperasi sepenuhnya sebagai sebuah pusat pergigian pakar moden, sekali gus memperkukuh sistem perkhidmatan kesihatan pergigian negeri serta memberi manfaat besar kepada rakyat Sabah.

Pusat Pakar Pergigian Sabah merupakan fasiliti baharu kedua di Malaysia, dan yang pertama di Malaysia Timur, selepas pembinaan Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan. Pusat Pakar Pergigian Negeri Sembilan ialah fasiliti baharu pertama di Malaysia yang siap dibina dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 7 Ogos 2025.
