TAWAU, 22 JAN – Majlis Penyerahan Projek Pembinaan Kuarters Bertingkat Rumah Warga Tua Air Panas Tawau telah diadakan bagi menandakan kejayaan pelaksanaan dan penyiapan projek berkenaan. Projek ini merupakan salah satu inisiatif penting dalam menyediakan kemudahan kediaman yang selesa dan selamat kepada golongan warga emas.

Projek bernilai RM5.8 juta ini telah disempurnakan oleh Jurutera Bahagian JKR Tawau, Mohammad Izam bin Jamal, bersama Timbalan Pengarah Pembangunan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS), Chong Khaim Yun @ Dominic, serta Penguasa Rumah Warga Tua Air Panas Tawau, Sunarti Abd. Namsa.
Dalam ucapannya, Timbalan Pengarah Pembangunan JPKAS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pasukan JKR Tawau atas komitmen, dedikasi dan kerjasama cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang tempoh pelaksanaan projek. Kejayaan ini membuktikan keupayaan pasukan projek dalam memastikan kerja dilaksanakan mengikut piawaian, jadual serta kualiti yang ditetapkan, selaras dengan aspirasi jabatan dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Projek ini telah bermula pada 22 Mei 2023 dan siap sepenuhnya pada 29 Disember 2025, sekali gus menjadi pencapaian awal yang memberangsangkan bagi tahun 2026. Penghargaan dan tahniah turut diberikan kepada Jurutera Bahagian Kawasan Selatan JKR Tawau selaku Pegawai Penguasa, dengan sokongan berterusan daripada pasukan Jurutera Bangunan, Jurutera Mekanikal dan Elektrik, serta komitmen yang baik daripada pihak kontraktor dan pelanggan, iaitu Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah (JPKAS).

