TAWAU, 22 JAN – Satu sesi pembentangan teknikal berkenaan sistem Precast Post-Tensioned T-Beam oleh pembekal Freyssinet Sdn. Bhd. telah diadakan di Bilik Mesyuarat JKR Tawau. Sesi ini dihadiri oleh Jurutera Bahagian Selatan JKR Tawau, Mohammad Izam bin Jamal, barisan Jurutera dan Penolong Jurutera JKR Tawau serta pasukan projek Lebuhraya Pan Borneo.

Pembentangan ini memberi fokus kepada konsep reka bentuk, kaedah pemasangan, kelebihan struktur, serta aplikasi sistem T-Beam pasca-tegang dalam pembinaan jambatan, khususnya dari aspek kecekapan masa, kualiti, dan ketahanan jangka panjang. Pihak Freyssinet turut berkongsi pengalaman projek terdahulu serta spesifikasi teknikal berkaitan kawalan kualiti dan penyelenggaraan.


Sesi soal jawab turut diadakan bagi membincangkan kesesuaian penggunaan sistem ini untuk projek Pan Borneo di Sabah, termasuk aspek kos, tempoh pembinaan dan keperluan tapak. Secara keseluruhan, pembentangan ini memberi pendedahan yang berguna kepada pegawai JKR mengenai teknologi precast pasca-tegang sebagai alternatif struktur yang moden dan berdaya saing.

Diharapkan program sebegini dapat dipergiatkan agar lebih banyak pendedahan mengenai ilmu teknikal dapat diberikan di samping pengenalan kepada teknologi-teknologi baru dalam bidang pembinaan.
