SIPITANG, 28 JAN – JKR Sipitang telah menerima lawatan kerja rasmi Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Malaysia, Dato’ Seri Azman Ibrahim yang mengetuai lawatan dan sesi taklimat berkaitan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah melibatkan pakej kerja WP01 dan WP02. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada usaha pemantuan berterusan pihak kementerian terhadap kemajuan projek infrastruktur strategik negara.

Semasa lawatan tersebut, pasukan pengurusan projek Pan Borneo telah memberikan taklimat terperinci berkenaan status semasa pelaksanaan kerja, skop projek, pencapaian kemajuan fizikal serta cabaran – cabaran yang dihadapi di tapak pembinaan. Taklimat ini turut merangkumi langkah – langkah mitigasi dan perancangan seterusnya bagi memastikan projek dilaksanakan mengikut jadual, kos yang diluluskan serta spesifikasi dan piawaian keselamatan yang ditetapkan.

Dalam lawatan ini, Dato’ Seri Azman Ibrahim turut menekankan kepentingan tadbir urus projek yang berkesan, pematuhan terhadap prosedur kerja serta kerjasama erat antara semua pihak berkepentingan termasuk JKR, perunding, kontraktor dan agensi berkaitan. Beliau turut menzahirkan harapan agar semua isu pelaksanaan dapat ditangani secara proaktif demi memastikan kelancaran dan keberkesanan penyampaian projek.

Projek Lebuhraya Pan Borneo merupakan antara inisiatif infrastruktur utama kerajaan yang berperanan penting dalam mempertingkatkan jaringan perhubungan, merangsang pertumbuhan sosio ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya di negeri Sabah. Lawatan kerja ini mencerminkan komitmen berterusan Kementerian Kerja Raya dan Jabatan Kerja Raya Sabah dalam memastikan projek berimpak tinggi ini dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan menepati objektif yang ditetapkan.
