TUARAN, 28 JAN – Satu delegasi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah yang diketuai oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Projek Jalan Luar Bandar, Ir. Aishahturizdah binti Ashgul, telah menghadiri sesi Factory Acceptance Test (FAT) bagi Projek Menaik Taraf Jalan Gana Jati Tebidung – Bidung, Telupid. Sesi FAT tersebut telah dianjurkan oleh pihak kontraktor dan dilaksanakan di loji pembancuhan konkrit milik Sedco Precast Sdn. Bhd.

Lawatan teknikal ini turut disertai oleh wakil daripada Cawangan Jambatan, Cawangan Makmal dan Penyiasatan Tapak, serta wakil Pegawai Projek JKR Daerah Telupid dan Tongod. Objektif utama lawatan adalah untuk menilai kesesuaian teknikal dan prestasi Produk MyArch Segmental Bridge, termasuk kaedah fabrikasi serta kawalan kualiti bancuhan High Performance Concrete (HPC) G60 yang digunakan bagi pembinaan Long Span (LS) Girder, yang dicadangkan untuk digunakan dalam projek berkenaan.


Program dimulakan dengan sesi taklimat teknikal pada jam 10.00 pagi yang disampaikan oleh Ir. Dr. Low Hin Foo, merangkumi aspek reka bentuk struktur, spesifikasi bahan, prosedur pengujian serta pematuhan terhadap keperluan teknikal projek. Seterusnya, rombongan telah dibawa melawat ke loji pembancuhan konkrit bagi menilai proses pengeluaran dan kawalan mutu, diikuti dengan pemerhatian kerja-kerja pembinaan MyArch LS Girder pada jam 2.00 petang.


Penggunaan Produk MyArch Segmental Bridge dalam projek ini merupakan yang pertama digunakan bagi Projek Jalan Luar Bandar di Negeri Sabah dan dijangka menjadi rujukan teknikal bagi pelaksanaan projek-projek seumpamanya pada masa akan datang.


