2

KUALA PENYU, 12 MAC  – Persatuan Kakitangan Islam (PKI) JKR Sabah telah menganjurkan Program Jelajah Ramadan Siri 2026 dan bagi Zon Pantai Barat Selatan, JKR Kuala Penyu telah dipilih sebagai tuan rumah untuk tahun 2026.

Program yang berlangsung di JKR Kuala Penyu pada kali ini bertujuan untuk menyemarakkan bulan Ramadan serta mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga jabatan melalui aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan. Antara pengisian program termasuk penyampaian sumbangan kepada golongan anak-anak yatim dan pelajar tahfiz Madrasah Al-Quran Nur Asbih Beaufort.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa sebelum diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Jurutera Daerah JKR Kuala Penyu, Darryl Ian Joinol. Turut menyampaikan ucapan ialah Yang Dipertua PKI JKR Sabah merangkap Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyenggaraan Jalan, Mohd Hardy bin Laidin @ Saidin, dan ucapan diteruskan oleh Timbalan Pengarah Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam bin Abdul Wahid yang turut hadir mewakili Pengarah Kerja Raya Sabah.

Selain itu, antara yang hadir, Jurutera Bahagian Beaufort, Azlan Sumiran, Jurutera Daerah Sipitang, Ir. Ts. Syahbrina Haji Osin dan diteruskan dengan menandatangani banner Program Jelajah Ramadan.

Sebagai penutup, program ini diharapkan dapat menyemai nilai murni serta meningkatkan semangat kebersamaan dalam menghayati bulan Ramadan yang penuh rahmat dan keberkatan.

About The Author