PERUTUSAN PENGARAH KERJA RAYA SABAH
PENGARAH KERJA RAYA SABAH
WARGA JABATAN KERJA RAYA
ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH
SALAM SEJAHTERA DAN SALAM SABAH MAJU JAYA
Warga Jabatan Kerja Raya Sabah yang saya hormati sekalian,
Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya, saya diberi amanah untuk menerajui Jabatan Kerja Raya Sabah sebagai Pengarah Kerja Raya Sabah yang baharu berkuat kuasa pada 1 April 2026.
Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh warga JKR Sabah atas segala sumbangan, dedikasi dan komitmen dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab kepada Jabatan selama ini. Kejayaan dan kecemerlangan JKR Sabah adalah hasil semangat kerjasama dan komitmen seluruh warga kerja.
Sebagai sebuah Jabatan Teknikal, JKR Sabah perlu terus berusaha menjadi organisasi teknikal yang dihormati dan disegani dalam pembangunan infrastruktur negeri. Sehubungan itu, kita hendaklah memperkukuhkan budaya kerja berprestasi tinggi, meningkatkan profesionalisme serta memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan dengan cekap, berkualiti dan menepati keperluan rakyat.
Tidak dapat dinafikan bahawa JKR Sabah berdepan dengan pelbagai isu dan cabaran dalam merancang serta melaksanakan projek-projek pembangunan agar selaras dengan visi dan misi Jabatan. Oleh itu, setiap projek perlu diurus secara teliti, berintegriti dan mematuhi tatakelola yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, berkesan dan mencapai objektif yang dirancang.
Saya juga ingin menegaskan bahawa integriti merupakan asas utama kecemerlangan organisasi. Setiap warga JKR Sabah hendaklah melaksanakan tugas dengan penuh amanah, jujur, telus dan bertanggungjawab. Budaya kerja berintegriti bukan sahaja mampu meningkatkan kecekapan dan produktiviti, malah dapat memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.
Sehubungan itu, Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) Jabatan Kerja Raya Sabah akan terus diperkasakan dalam usaha memperkukuhkan governans dan membudayakan amalan integriti di semua peringkat organisasi.
Akhir kata, saya berharap seluruh warga JKR Sabah akan terus bersatu hati dan bekerjasama sebagai satu pasukan demi mengangkat martabat Jabatan ke tahap yang lebih cemerlang. Semoga segala usaha dan perancangan yang dilaksanakan akan dipermudahkan serta diberkati Allah SWT.
Sekian, terima kasih.
“PERKHIDMATAN BERKUALITI, JADUAL DIPATUHI”TUAN BAHARUHOM BIN K.K. SOGON
