• September 1, 2022
  • 4090

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022

Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022

KOTA KINABALU, 31 OGOS – Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah tahun ini telah diraikan di Padang Merdeka, Kota Kinabalu yang dihadiri lebih daripada 7,000 pengunjung, semalam.

Sambutan secara rasmi bermula dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Juhar bin Mahiruddin bersama isteri, Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Norlidah Binti Datuk R.M. Jasni, serta Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Noor dan isteri, Datin Seri Panglima Hajah Julia Salag.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk sambutan berkenaan serta beberapa Jemaah Menteri Kabinet Sabah.

Sejurus itu, perarakan masuk Jalur Gemilang dan bendera Sabah oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM), disusuli perarakan bendera semua negeri dan bendera tema “Keluarga Malaysia Teguh Bersama”.

Sambutan Hari Kebangsaan itu menyaksikan pembabitan sebanyak 86 buah kontinjen meliputi pelbagai agensi kerajaan dan swasta termasuk badan bukan kerajaan (NGO), Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta selain pasukan anggota beruniform.

Suasana di Padang Merdeka itu bertambah riuh apabila Angkatan Tentera Malaysia mempersembahkan Tempur Tanpa Senjata (TTS).

Jabatan Kerja Raya Sabah dapat tempat yang ke – 4 dalam kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Rasmi. Turut hadir dalam sambutan itu, Pengarah Kerja Raya Sabah, Tuan Hj. Kamaludin bin Ag. Abas.

Keluarga Malaysia Teguh Bersama. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Malaysia Yang Ke-65 Tahun 2022.