KOTA MARUDU, 24 NOV – Program Gotong-royong Perdana Daerah Kota Marudu telah diadakan buat julung kalinya anjuran Pejabat Daerah dan Majlis Daerah Kota Marudu.
Acara ini dimulakan dengan senaman Dance Fitness pada jam6.30 pagi dan seterusnya sarapan pagi sebelum ke kawasan yang telah diagihkan kepada beberapa jabatan dan agensi yang terlibat.

Sebanyak lima (5) zon yang telah dibahagi melibatkan Zon Pekan Bandau, Zon Pekan Goshen, Zon Pekan Lama, Zon Langkon dan Zon Pekan Tandek. 21 kakitangan JKR Kota Marudu telah terlibat bekerjasama dengan 5 kakitangan dari Majlis Daerah Kota Marudu dalam membersihkan kawasan Zon Pekan Bandau.


Penutupan acara diadakan di Pentas Utama Kota Marudu yang dimulakan dengan ucapan dari Pegawai Daerah Kota Marudu merangkap Pengurusi Penganjur, Meirin binti Sugara dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Hendrus Anding, Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Merangkap ADUN N.7 Tandek.
Beliau mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua jabatan dan agensi yang terlibat dalam program ini dan berharap program seperti ini dijadikan sebagai program tahunan secara besar-besaran bagi menjaga kebersihan dan mencegah wabak denggi yang semakin meningkat di daerah ini. Mengakhiri ucapan, Yang Berhormat Pembantu Menteri menyeru kepada semua pihak agar memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kebersihan kawasan Kota Marudu.
Program diakhiri dengan sesi bergambar melibatkan semua yang berada di Pentas Utama Kota Marudu dan cabutan tiket bertuah kepada yang hadir.

