KOTA KINABALU, 7 OGOS – Cawangan Kejuruteraan Automotif telah mengadakan Lawatan Kerja ke Toyota Harapan Menang Sdn. Bhd. sebagai salah satu usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan pemahaman berkaitan pengurusan serta penyelenggaraan kenderaan.

Lawatan kerja ini bertujuan untuk mendapatkan pendedahan yang lebih mendalam mengenai proses kerja penyelenggaraan kenderaan yang dilaksanakan oleh pihak Toyota, khususnya dari aspek penerimaan kenderaan, pemeriksaan, diagnostik kerosakan, kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan serta pemeriksaan akhir sebelum kenderaan diserahkan kepada pelanggan.
Sepanjang lawatan, pihak Cawangan Kejuruteraan Automotif turut berpeluang melihat dengan lebih dekat kaedah kerja dan amalan yang digunakan dalam memastikan kenderaan diselenggara mengikut prosedur serta piawaian yang ditetapkan oleh Toyota.

Perkongsian pengetahuan dan pengalaman bersama pihak Harapan Menang Toyota ini memberikan input yang bermanfaat kepada warga Cawangan Kejuruteraan Automotif, khususnya dalam memahami amalan terbaik dalam pengurusan penyelenggaraan kenderaan secara lebih sistematik dan berkesan.

Lawatan kerja ini turut disertai oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Institut Latihan, Tuan Azman bin Jamrin, bersama pegawai dan kakitangan Institut Latihan.

Diharapkan hasil lawatan kerja ini dapat dimanfaatkan dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pengurusan dan penyelenggaraan kenderaan Kerajaan Negeri serta memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan selamat, baik dan sesuai digunakan bagi menyokong penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

