KOTA KINABALU, 1 SEP – Mesyuarat Pengurusan Jalan telah diadakan di Dewan Kinabalu, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi membincangkan hala tuju, perkembangan dan isu berkaitan penyenggaraan jalan di bawah seliaan JKR Sabah.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Pengarah Kerja Raya, Baharuhom bin K.K. Sogon, bersama Timbalan Pengarah Sektor Jeraya, Hafez bin Shabuddin, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyenggaraan Jalan, Mohd. Hardy bin Laidin @ Saidin, serta Ketua-ketua Penolong Pengarah, Jurutera-jurutera Bahagian dan Jurutera-jurutera Daerah.

Turut dibentangkan ialah perkembangan kerja pembaikan jalan oleh wakil konsesi penyenggaraan jalan Persekutuan dan Negeri, selain perkongsian daripada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berkaitan pengurusan kompaun dan kenderaan sita.

Mesyuarat tersebut turut membincangkan isu semasa, perancangan dan pelaksanaan kerja penyenggaraan serta tindakan susulan terhadap perkara yang telah dibangkitkan dalam mesyuarat terdahulu. Pengarah Kerja Raya turut mencadangkan agar mesyuarat seumpama ini diadakan secara bulanan bagi memastikan pemantauan dan penyelesaian isu dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.




Sejurus selepas itu, Mesyuarat Pemantauan Konsesi turut diadakan bagi membincangkan pencapaian dan prestasi pihak konsesi yang terlibat dalam pengurusan serta penyenggaraan jalan Persekutuan dan Negeri di bawah seliaan JKR Sabah.
