7

PITAS, 23 SEP – Semangat kecintaan terhadap Baginda Rasulullah S.A.W dan kebersamaan warga kerja terserlah apabila kontinjen Jabatan Kerja Raya (JKR) Pitas berjaya meraih gelaran Naib Johan bagi Kategori Kementerian / Jabatan / Swasta dalam Pertandingan Sepanduk sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W 1448 Hijrah / 2026 Masihi Peringkat Daerah Pitas.

​Majlis yang penuh gilang-gemilang ini dimulakan seawal jam 6.30 pagi dengan ketibaan tetamu kehormat, dif-dif jemputan, serta kontinjen-kontinjen perarakan di Dewan Sri Adee Pejabat Daerah Pitas. Tepat jam 8.10 pagi, majlis menyambut ketibaan Perasmi Majlis Sambutan Maulidur Rasul S.A.W. Peringkat Daerah Pitas, Yang Berhormat Datuk Sri Dr. Ruddy bin Awah, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah merangkap ADUN N.3 Pitas.

Acara rasmi dimulakan pada jam 8.20 pagi dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti bacaan doa yang dipimpin oleh Imam Haji Asimin bin Tang, Imam Daerah Pitas. Majlis meneruskan atur cara pada jam 8.40 pagi dengan Ucapan Alu-aluan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Yang Berbahagia Asdi @ Mohd Faizal bin Hussin, Pegawai Daerah Pitas, sebelum disusuli dengan Ucapan Perasmian oleh YB Datuk Sri Dr. Ruddy bin Awah pada jam 8.50 pagi.

Memasuki jam 9.30 pagi, acara diteruskan dengan Pertandingan Mahrajan Kesenian Islam yang merangkumi persembahan Barzanji, Marhaban, Kompang dan Festival Nasyid. Sesi berikutnya pada jam 10.50 pagi disusuli dengan Tazkirah Maulidur Rasul S.A.W., persembahan nasyid jemputan, serta kemuncak majlis, iaitu Majlis Penyampaian Hadiah Pemenang Pertandingan Sepanduk, Kontinjen Terbaik, Kontinjen Teramai, Mahrajan Kesenian Islam, dan anugerah-anugerah lain.

Kontinjen JKR Pitas yang tampil segak dan anggun mengenakan pakaian seragam bertema hijau lengkap bersamping, bersongkok/berkupiah, serta berselendang khas “JKR PITAS” telah dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Sepanduk. Hadiah kemenangan berupa mock cheque bernilai RM 2,000.00 bersama sijil penghargaan.

Majlis rasmi diakhiri dengan jamuan makan serta keberangkatan pulang YB Pembantu Menteri pada jam 12.30 tengah hari. Sesi diteruskan dengan acara fotografi kenangan bersama seluruh ahli kontinjen JKR Pitas bagi meraikan kejayaan manis tersebut.

Pencapaian ini bukan sahaja membuktikan komitmen dan sokongan padu JKR Pitas dalam menjayakan program kerohanian peringkat daerah, malah menjadi medan terbaik bagi memupuk ukhuwah, kerjasama, dan keharmonian dalam kalangan warga kerja jabatan.

About The Author