PENAMPANG, 17 APR – Jabatan Kerja Raya (JKR) Penampang turut terlibat dalam Majlis Pecah Tanah bagi Projek Penaiktarafan Tamu Donggongon yang telah berlangsung di tapak projek berkenaan pada Khamis lalu. Majlis ini menandakan permulaan rasmi kepada kerja-kerja menaik taraf kemudahan pasar yang menjadi tumpuan utama masyarakat setempat.
Bermula seawal jam 1.00 petang, wakil JKR Penampang hadir bersama-sama Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan sebagai tanda sokongan terhadap inisiatif pembangunan ini.

Turut diadakan pada majlis tersebut adalah taklimat projek oleh pihak arkitek yang memberikan gambaran awal kepada para hadirin mengenai pelaksanaan kerja menaik taraf yang dirancang.
Majlis diserikan dengan kehadiran YB Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen P.174 Penampang yang telah menyempurnakan gimik pelancaran dan menyampaikan ucapan perasmian.

Majlis turut disusuli dengan sesi sidang akhbar dan jamuan ringan, sebelum bersurai. Projek penaiktarafan ini dijangka memberi impak positif kepada para peniaga dan komuniti setempat dengan menyediakan kemudahan yang lebih selesa.

