KOTA MARUDU, 17 SEP – JKR Kota Marudu telah mengadakan Majlis Penghargaan dan Penyampaian Sijil kepada dua orang pelajar yang telah menjalani latihan industri di JKR Kota Marudu, iaitu Haadiy Hans Haldy, pelajar Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), dan Sakina Kanduga, pelajar Ijazah Sarjana Muda Antropologi dan Sosiologi dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Kedua-dua pelajar tersebut telah menjalani latihan industri selama tiga (3) bulan bermula pada Julai 2026 dan akan menamatkan latihan pada 18 September 2026.

Dalam ucapan ringkasnya, Jurutera Daerah JKR Kota Marudu, Ir. Ts. Gs. Mohd Fauzi Zikiri, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada kedua-dua pelajar atas komitmen, kerjasama serta sumbangan yang telah diberikan sepanjang menjalani latihan industri di JKR Kota Marudu.
Sepanjang tempoh latihan di bawah seliaan Jurutera Kerja, Ts. Christine Madatang, kedua-dua pelajar telah menunjukkan komitmen, disiplin dan semangat kerja yang tinggi serta memberikan kerjasama yang baik dalam melaksanakan tugasan yang diberikan.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Jurutera Kerja, Aron dan Ts. Christine, Penolong-Penolong Jurutera Kanan, Ahmad Mahmud, Ag. Zainal Bidi dan Muhammad Safri; Penolong-Penolong Jurutera, Jani Makapin, Joeheir Sitoun, Evounemily dan Michelleine Michael; Ketua Unit Pentadbiran, Palimon Makapin; serta Ketua-Ketua Unit dan warga kerja JKR Kota Marudu.

Seluruh warga JKR Kota Marudu mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada Haadiy Hans Haldy dan Sakina Kanduga. Semoga segala pengalaman, pengetahuan dan pendedahan yang diperoleh sepanjang menjalani latihan industri di JKR Kota Marudu dapat dimanfaatkan dalam meneruskan pengajian serta menjadi bekalan dalam menempuh alam kerjaya pada masa hadapan.
