LAHAD DATU, 24 JUN – YB Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Menteri Kerja Raya Sabah, telah mengadakan lawatan kerja rasmi selama dua hari ke daerah Lahad Datu dan Tawau yang bertujuan untuk meninjau pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama di bawah seliaan Kementerian Kerja Raya Sabah.

Lawatan bermula seawal jam 8.00 pagi dengan ketibaan beliau di Lapangan Terbang Lahad Datu, sebelum meneruskan tinjauan ke tapak Projek Lebuhraya Pan Borneo – Pakej 20 (Jalan Lahad Datu – Tawau). Projek ini merupakan salah satu komponen penting dalam usaha menaik taraf sistem perhubungan darat di Sabah.
Turut hadir semasa lawatan ini ialah Hadi bin Hamzah selaku Jurutera Daerah JKR Lahad Datu, Timbalan Pengarah Sektor Pan Borneo, Shamsul Nizam bin Abd Wahid, SUT Datuk Ridhwan Linus @ Roger Linus diiringi bersama TSUT Jasni Abu Suffyan Omar dan beberapa kakitangan dari Kementerian Kerja Raya.

Pada sebelah tengah hari, YB Datuk Shahelmey mewakili YAB Ketua Menteri Sabah bagi merasmikan Pusat Kawalan dan Stesen Penyelidikan Langom, serta melancarkan Ekspedisi Saintifik Langom 2025. Majlis ini berlangsung di lokasi projek dan dijangka selesai sekitar jam 3.00 petang.
Selepas itu, beliau meneruskan perjalanan ke Tawau sambil meninjau beberapa lokasi kerja sepanjang laluan Projek Pan Borneo yang sedang dilaksanakan.

Lawatan ini jelas menunjukkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek infrastruktur yang memberi manfaat langsung kepada rakyat, khususnya dalam memperkukuh jaringan perhubungan dan pembangunan luar bandar di Sabah.
