1

TUARAN, 25 JUL – Cawangan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah dijemput sebagai penceramah bagi Kursus Pemantapan Pemandu Kenderaan Bahagian Kesihatan Pergigian, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) Tahun 2026 bertempat di INTAN Kampus Wilayah Sabah (INTAN Sabah).

Taklimat yang disampaikan memberi penekanan kepada Prosedur Kecemasan Kebakaran Enjin serta Pengendalian Winch yang betul dan selamat. Pendedahan ini bertujuan meningkatkan pengetahuan serta kemahiran peserta dalam menghadapi situasi kecemasan semasa mengendalikan kenderaan kerajaan, di samping memperkukuhkan amalan keselamatan ketika menjalankan tugas.

Peserta kursus terdiri daripada pemandu kenderaan dan Authorised Drivers dari Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) yang diberi tanggungjawab mengendalikan kenderaan jabatan dalam urusan rasmi. Sesi taklimat telah disampaikan oleh Jurutera Mekanikal, Brendon Victor Obit, manakala Pembantu Khidmat Am, Darren Melvin Mojingol, turut bersama bagi mengendalikan sesi demonstrasi praktikal penggunaan winch. Demonstrasi tersebut memberi peluang kepada peserta memahami teknik pengendalian winch yang betul, selamat dan berkesan mengikut prosedur yang ditetapkan.

Penyertaan Cawangan Kejuruteraan Automotif dalam program ini mencerminkan komitmen JKR Sabah untuk berkongsi kepakaran teknikal serta menyokong usaha memperkukuhkan aspek keselamatan dan kompetensi pengendalian kenderaan kerajaan. Diharapkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui kursus ini dapat diaplikasikan oleh para peserta dalam melaksanakan tugas harian dengan lebih selamat, cekap dan profesional.

About The Author