SIPITANG, 18 OGOS – YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, telah mengadakan lawatan kerja ke daerah Sipitang bagi meninjau perkembangan serta isu-isu berkaitan projek infrastruktur dan utiliti di kawasan berkenaan.

Lawatan tersebut turut disertai oleh pelbagai agensi dan jabatan kerajaan, antaranya Jabatan Air Negeri Sabah, Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Pejabat Penolong Pegawai Daerah (ADO), Jabatan Tanah dan Ukur Sabah, Ahli Parlimen P.178 Sipitang, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Ketua Anak Negeri serta Ketua Polis Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang.
Dalam lawatan berkenaan, rombongan telah meninjau tapak Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, Pakej Kerja 01 dan Pakej Kerja 02 serta kawasan Cerun 16.45, Jalan Sipitang–Tenom bagi melihat sendiri status kemajuan projek, keadaan semasa di tapak serta perkara-perkara berkaitan yang memerlukan perhatian dan tindakan susulan daripada agensi-agensi berkaitan.

Lawatan ini juga menjadi platform bagi memperkukuhkan penyelarasan dan kerjasama antara jabatan serta agensi kerajaan dalam memastikan pelaksanaan projek infrastruktur di daerah Sipitang dapat berjalan lancar, selamat dan memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Turut hadir dan menyambut ketibaan rombongan ialah Jurutera Daerah Sipitang, Ir. Ts. Syahbrina binti Osin, selaku Jurutera Daerah Sipitang, bersama pegawai-pegawai JKR Sipitang.

Lawatan kerja tersebut mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Negeri Sabah melalui Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah dalam memantau serta memastikan pelaksanaan projek-projek pembangunan infrastruktur, khususnya di daerah Sipitang, dilaksanakan secara berkesan demi meningkatkan keselamatan, kesalinghubungan dan kesejahteraan rakyat.
