NABAWAN, 08 OGOS – Semangat patriotisme dan cintakan tanah air terus membara di kawasan pedalaman Sabah apabila Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan berjaya menganjurkan program Kembara Merdeka JKR Nabawan Tahun 2026.

Konvoi kenderaan JKR anjuran Jurutera Daerah diwakili oleh Jurutera Kerja, Wellson bin Risit, bersama 15 orang kakitangan telah melalui jajaran jalan raya yang telah siap dinaik taraf bermula dari perkarangan Pejabat JKR Nabawan menuju ke Daerah Kecil Pagalungan, Pekan Kecil Pensiangan, dan berakhir dengan jayanya di Kampung Sabinait untuk menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah.
Program bermula seawal jam 7.30 pagi di perkarangan Pejabat JKR Nabawan dengan sesi taklimat keselamatan jalan raya serta bacaan doa selamat bagi memastikan kelancaran sepanjang perjalanan. Sesi pelepasan rasmi (flag-off) konvoi kenderaan pacuan empat roda (4WD) JKR ini disempurnakan dengan lambaian megah Jalur Gemilang dan bendera Sabah.


Konvoi kemudiannya bergerak meredah laluan darat menuju ke Daerah Kecil Pagalungan. Pengembaraan ini menggunakan jajaran projek membina Jalan Ke Pekan Baru Pagalungan yang kini membawa impak besar kepada kesalinghubungan penduduk pedalaman.
Sepanjang laluan, para peserta konvoi berpeluang melihat sendiri perkembangan infrastruktur jalan raya dan jambatan yang telah siap dibina demi kemudahan masyarakat setempat.
Destinasi seterusnya membawa konvoi melusuri jalan Projek Membina Jalan Pagalungan ke Pekan Tinanduk, kemudian melusuri jalan Projek Naik Taraf Jalan Pekan Pensiangan – Kampung Lampas – Kampung Sikalabaan sebelum sampai ke Pekan Kecil Pensiangan, sebuah kawasan bersejarah yang kaya dengan budaya komuniti Murut, sebelum meneruskan perjalanan ke perhentian terakhir di Kampung Sabinait.

Menurut Jurutera Daerah, Ahmad Fairuz bin Yunus, program ini bukan sahaja bertujuan untuk mengibarkan bendera, malah menjadi platform penting bagi kakitangan teknikal JKR untuk memantau keadaan jalan raya secara real-time di kawasan pedalaman. Melalui kembara ini, integrasi antara agensi kerajaan dan masyarakat luar bandar dapat diperkukuh, selaras dengan aspirasi untuk membawa pembangunan inklusif ke seluruh pelusuk daerah Nabawan.
