2

KUALA LUMPUR, 20 OGOS – Cawangan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke Bahagian Perkhidmatan Mekanikal, Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia bagi mendapatkan pendedahan dan perkongsian pengetahuan berkaitan Vehicle Test Lane (VTL).

Ketibaan delegasi telah disambut oleh Ketua Jurutera Mekanikal, Ir. Ts. Br. Gs. PMr. Amran bin Ahmad bersama barisan pegawai Bahagian Perkhidmatan Mekanikal, JKR Malaysia. Lawatan kerja ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat serta pemahaman yang lebih menyeluruh berhubung konsep, pelaksanaan, pengoperasian dan pengurusan VTL dalam menyokong proses pemeriksaan serta pengujian kenderaan secara lebih sistematik, selamat dan berkesan.

Sepanjang lawatan, delegasi Cawangan Kejuruteraan Automotif JKR Sabah telah diberikan penerangan berkaitan aspek teknikal dan operasi VTL, termasuk susun atur kemudahan, peralatan pengujian, kaedah pemeriksaan serta keperluan penyelenggaraan peralatan dan sistem yang berkaitan.

Sesi perkongsian turut memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk bertukar pandangan dan pengalaman berkaitan pengoperasian kemudahan VTL, termasuk aspek pengurusan, keperluan teknikal serta cabaran yang mungkin dihadapi dalam pelaksanaannya.

Lawatan ini juga merupakan satu platform penting bagi cawangan ini untuk menimba pengalaman dan mendapatkan input sebagai rujukan dalam usaha mempertingkatkan keupayaan serta kemudahan pengujian kenderaan di Sabah.

Melalui lawatan kerja ini, diharapkan perkongsian ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam perancangan serta pelaksanaan penambahbaikan berkaitan pengujian kenderaan, selaras dengan keperluan semasa dan usaha JKR untuk meningkatkan kecekapan, keselamatan serta kualiti perkhidmatan kejuruteraan mekanikal.

Cawangan Kejuruteraan Automotif JKR Sabah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bahagian Perkhidmatan Mekanikal, JKR Malaysia, khususnya Ir. Ts. Br. Gs. PMr. Amran bin Ahmad, atas kesudian menerima kunjungan serta memberikan penerangan, pandangan dan perkongsian ilmu sepanjang lawatan kerja tersebut.

About The Author