Screenshot 2026-09-17 175148

KOTA KINABALU, 20 OGOS – Cawangan Makmal dan Penyiasatan Tapak telah menerima kunjungan daripada pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. yang diketuai oleh Pengurus Besar, Civil Engineering Services, Ir. Ts. John Gomez.

Kunjungan ini merupakan satu platform bagi perkongsian maklumat, pengetahuan dan pengalaman teknikal antara pihak Sabah Electricity dan JKR Sabah, khususnya dalam bidang pengujian bahan, penyiasatan tapak, geoteknikal dan pengurusan cerun.

Sepanjang kunjungan, pihak delegasi telah dibawa melawat setiap unit di cawangan ini yang diketuai oleh Jude Anthony, Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Makmal dan Penyiasatan Tapak. Lawatan tersebut melibatkan Unit Asphalt & Bitumen, Unit Concrete, Unit California Bearing Ratio (CBR), Unit Aggregate & Registration, Unit Tensile dan Unit Site Investigation.

Setiap unit telah menyampaikan taklimat serta mengadakan demonstrasi secara langsung berkaitan jenis-jenis ujian yang dijalankan, penggunaan peralatan serta kaedah pengujian yang dilaksanakan di unit masing-masing mengikut standard dan spesifikasi yang telah ditetapkan.

Program diteruskan dengan sesi perkongsian ilmu dan pembentangan teknikal di Dewan Mini JKR Bandaraya Kota Kinabalu. Pembentangan pertama bertajuk “Soil Investigation” telah disampaikan oleh Dannel Dan Christopher, Jurutera dari Cawangan Makmal dan Penyiasatan Tapak. Pembentangan kedua bertajuk “Investigation of Slope and Design of Slope” telah disampaikan oleh Muhammad Nazimuddin bin Kadzim M Yahya, Jurutera dari Cawangan Cerun. Seterusnya, pembentangan terakhir bertajuk “Technical and Benchmarking Visit to JKR Geotechnical Laboratory” telah disampaikan oleh Ir. Ts. John Gomez, Pengurus Besar, Civil Engineering Services, Sabah Electricity.

Setiap sesi pembentangan turut disusuli dengan sesi soal jawab dan perbincangan dua hala yang memberi peluang kepada pihak Sabah Electricity dan JKR Sabah untuk mendapatkan penjelasan lanjut, bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman berkaitan aspek-aspek teknikal yang dibentangkan.

About The Author