KOTA MARUDU, 30 OKT – Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Marudu telah berjaya menganjurkan Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan dengan kerjasama Hospital Kota Marudu dan Pejabat Kesihatan Kota Marudu, bertempat di Pejabat JKR Kota Marudu.

Penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif JKR Kota Marudu dalam menyemarakkan semangat keprihatinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kerja, di samping meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendermaan darah dan penjagaan kesihatan.

Jurutera Daerah JKR Kota Marudu, Ir. Ts. Gs. Mohd Fauzi Zikiri, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak Hospital Kota Marudu dan Pejabat Kesihatan Kota Marudu atas kerjasama, komitmen serta sokongan yang diberikan dalam menjayakan program ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pegawai dan kakitangan yang telah tampil secara sukarela untuk menderma darah serta mengambil bahagian dalam pemeriksaan kesihatan. Kesudian mereka menyertai program ini mencerminkan semangat keprihatinan dan kebersamaan dalam menjayakan usaha murni bagi membantu golongan yang memerlukan, khususnya dalam menyokong usaha meningkatkan bekalan darah di hospital.

Sebagai rekod, seramai 11 orang telah berjaya menderma darah, manakala 25 orang pegawai dan kakitangan telah menjalani pemeriksaan kesihatan sepanjang program berlangsung.
Diharapkan agar penganjuran program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang sebagai usaha memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, memupuk budaya hidup sihat serta menyemai nilai kemanusiaan dan keprihatinan dalam kalangan warga kerja JKR Kota Marudu.

Setitis Darah, Sejuta Harapan.
