9

KOTA BELUD, 19 MAC – Persatuan Kakitangan Islam (PKI) JKR Sabah telah menganjurkan program Jelajah Ramadhan di mana JKR Kota Belud menjadi tuan rumah untuk zon Pantai Barat Utara (Kota Belud dan Ranau).

Majlis dimulakan dengan kehadiran kakitangan JKR hampir dari seluruh zon dan Ibu pejabat JKR Sabah. Jurutera Bahagian JKR Kota Belud, Asnijah Sibin memulakan majlis dengan kata-kata aluan dan merakamkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir pada program ini. Turut memberikan ucapan YDP Persatuan Kakitangan Islam (PKI) JKR Sabah, Mohd Hardy bin Laidin@Saidin yang sentiasa memberikan sokongan dan komitmen yang terbaik sepanjang program dilaksanakan.

Majlis diteruskan dengan ucapan perasmian dari wakil Pengarah JKR Sabah iaitu Baharuhom bin K.K Sogon, Timbalan Pengarah Sektor Jeraya dalam ucapannya, program seperti ini harus diteruskan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.

Dalam program tersebut, turut diadakan penyampaian sumbangan untuk Pusat Pendidikan Muhammad Al-Fateh Kota Belud dan golongan asnaf JKR Kota Belud dan Ranau. Selesai berbuka puasa, program diteruskan dengan solat Maghrib dan Isyak serta solat sunat Tarawih.

Program ini merupakan acara tahunan yang diperkenalkan oleh Persatuan Kakitangan Islam (PKI) JKR Sabah yang bertujuan untuk menyambut dan mendapatkan barakah ramadhan, selain dapat mengeratkan silaturrahim di antara kakitangan JKR di seluruh Sabah.

About The Author