4

PENAMPANG, 3 DIS – Program Tanggungjawab Sosial Korporat (Corporate Social Responsibility) telah dilaksanakan oleh Cawangan Penyenggaraan Jalan (CPJ) di Sekolah Kebangsaan St. Paul Kolopis, Penampang sebagai inisiatif mendekati komuniti setempat serta menyumbang kepada pembangunan sahsiah dan kesejahteraan murid-murid sekolah.

Antara objektif penganjuran program itu adalah untuk mengeratkan hubungan antara warga CPJ dengan komuniti sekolah, menyemai semangat kesukarelawanan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga CPJ, memberi pendedahan kepada murid-murid melalui aktiviti interaktif dan sihat serta menyampaikan sumbangan CSR bagi membantu keperluan sekolah.

Program dimulakan dengan ketibaan dan pendaftaran peserta pada jam 8.00 pagi, diikuti persembahan sambutan oleh pelajar SK St. Paul Kolopis. Majlis diteruskan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku. Bacaan doa telah disempurnakan oleh Jurutera Kerja, Cawangan Penyenggaraan Jalan, JKR iaitu Faez Hadi. Seterusnya, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Guru Besar SK St. Paul Kolopis, Dorin Lasius, diikuti ucapan ringkas oleh Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Penyenggaraan Jalan, JKR, Hardy bin Laidin.

Majlis diteruskan dengan gimik perasmian dan penyampaian sumbangan CSR kepada pihak sekolah. Selepas sesi minum pagi, aktiviti interaktif bersama pelajar telah dijalankan yang merangkumi aktiviti Poco-poco, Flip Bottle Challenge, Tapak King Kong dan Musical Chair. Program diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang aktiviti, diikuti sesi bergambar sebelum majlis bersurai pada jam 12.15 tengah hari.

Program ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pihak sekolah dan murid-murid. Pelaksanaan aktiviti interaktif berjaya mewujudkan suasana ceria serta memperkukuh hubungan silaturahim antara warga CPJ dan komuniti sekolah. Sumbangan yang disampaikan juga diharap dapat membantu keperluan dan kebajikan pihak sekolah.

About The Author