PENAMPANG, 23 FEB – JKR Penampang telah diberi penghormatan sebagai tuan rumah bagi Majlis Jelajah Ramadan JKR Sabah 2026 Zon Pantai Barat Tengah bersama Sektor Lebuhraya Pan Borneo JKR Sabah yang diadakan di Wisma Pan Borneo JKR Putatan.

Majlis ini dianjurkan secara bersama oleh JKR Penampang selaku pelaksana, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, JKR Bandaraya, JKR Tuaran dan JKR Papar sebagai usaha memperkukuh ukhuwah serta kebersamaan dalam kalangan warga jabatan, khususnya sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan. Majlis bermula seawal jam 4.15 petang dengan ketibaan Ahli Jawatankuasa Pelaksana dan Ahli Jawatankuasa Induk PKI, diikuti dengan ketibaan para penerima sumbangan serta jemputan warga JKR Sabah.
Majlis diserikan dengan ketibaan YDP PKI JKR Sabah dan seterusnya Pengarah JKR Sabah. Acara diteruskan dengan ucapan aluan oleh Pengerusi Penganjur Bersama, YBhg. Dato’ Ir. Mohd Shamsul Nizam bin Abd Wahid, diikuti ucapan daripada YDP PKI JKR Sabah, Mohd Hardy bin Laidin@Saidin serta ucapan Pengarah JKR Sabah, YBhg. Datuk Ir. Ts. Philemon Lajawai.

Majlis berbuka puasa bermula pada jam 6.30 petang, diikuti dengan solat Maghrib, jamuan makan malam serta penyampaian cenderahati. Kemuncak program adalah penyampaian sumbangan kepada 32 orang penerima daripada Rumah Anak Yatim As-Syakinah, Taman Pantai (Sabindo), Kinarut, Papar, Sabah sebagai tanda keprihatinan dan tanggungjawab sosial warga JKR Sabah.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektifnya dalam mengeratkan silaturahim serta menyemai nilai kebajikan dan keprihatinan dalam kalangan warga JKR Sabah sempena bulan Ramadan Al-Mubarak.
Disediakan oleh :
Rochelle Aivy Jomiji
