PENAMPANG, 18 MEI – Telah berlangsung Majlis Penyerahan/Pengambilalihan Projek Siap bagi Cadangan Pembinaan Gantian Penuh 11 Bilik Darjah untuk Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang dengan kehadiran pegawai-pegawai kerajaan, wakil agensi terlibat serta warga sekolah.

Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Raynner Joseph selaku Jurutera Daerah JKR Penampang. Dalam ucapannya, beliau menyatakan komitmen pihak JKR dalam memastikan projek pembinaan dilaksanakan mengikut spesifikasi, jadual serta standard yang telah ditetapkan demi menyediakan kemudahan pembelajaran yang selamat dan kondusif kepada murid-murid pendidikan khas.

Majlis diteruskan dengan ucapan oleh wakil Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS), Janet binti Asik selaku Penolong Pengarah Sektor Pendidikan Khas, JPNS. Beliau menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan projek tersebut serta berharap kemudahan baharu ini dapat meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI).

Seterusnya, Pengetua SMK Datuk Peter Mojuntin, Harris B. Bali@Suffian turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak kementerian, JKR dan JPNS atas usaha menyediakan infrastruktur pendidikan yang lebih lengkap dan selesa untuk kegunaan warga sekolah khususnya murid berkeperluan khas.

Acara kemudiannya diteruskan dengan sesi tandatangan dokumen penyerahan sebagai simbolik rasmi penyerahan projek siap daripada pihak pelaksana kepada pihak penerima. Seterusnya berlangsung gimik penyerahan kunci yang menandakan bangunan baharu tersebut telah siap sepenuhnya dan sedia untuk digunakan.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari dan sesi ramah mesra antara para jemputan. Secara keseluruhannya, majlis berjalan dengan lancar dan berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuhkan kerjasama antara agensi serta menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih baik dan inklusif kepada murid-murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SMK Datuk Peter Mojuntin, Penampang.
