TUARAN, 22 SEP – Lawatan teknikal ke kilang PMW Winabumi Sdn. Bhd. bertempat di Kawasan Perindustrian Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP), diketuai oleh Pengarah JKR Sabah, Baharuhom bin K.K. Sogon, bersama-sama Timbalan Pengarah Sektor Khidmat Teknikal, Ir. Zainazah Ahmad Banjar, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Jambatan dan Ketua Penolong Pengarah Cawangan Makmal dan Penyiasatan Tapak, Pegawai-pegawai JKR Sabah, dan wakil daripada Perunding-perunding Projek Pan Borneo Sabah.

Lawatan ini menjadi platform untuk mendapatkan pendedahan mengenai proses pembuatan produk konkrit serta perkongsian maklumat teknikal antara JKR Sabah dan pihak industri. Fokus lawatan termasuk penerangan operasi kilang, lawatan ke bahagian pengeluaran dan pendedahan kepada beberapa jenis produk konkrit yang berkaitan dengan sektor pembinaan dan infrastruktur.
Objektif lawatan tersebut adalah untuk memberikan pendedahan mengenai proses pembuatan dan pengeluaran produk konkrit, mendapatkan maklumat berkaitan jenis-jenis produk konkrit yang dihasilkan oleh kilang ini, memperluas pengetahuan teknikal mengenai produk konkrit yang berpotensi digunakan dalam kerja pembinaan dan infrastruktur, menggalakkan perkongsian maklumat dan pertukaran pandangan teknikal antara JKR Sabah dengan pihak industri serta memperkukuh hubungan profesional dan jaringan kerjasama antara jabatan dengan pihak industri.

Program lawatan dimulakan dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh pihak PMW Winabumi kepada delegasi JKR Sabah. Taklimat tersebut memberikan penerangan umum mengenai latar belakang operasi syarikat, aktiviti pengeluaran, serta jenis-jenis produk konkrit yang dihasilkan seperti Pre-stressed Spun Concrete Poles, Spun Concrete Piles, Reinforced Concrete (RC) Square Piles dan Precast Spun Pipe Culverts.
Selepas sesi taklimat, delegasi JKR Sabah dibawa melawat ke bahagian pengeluaran kilang bagi melihat secara langsung operasi pembuatan produk konkrit.


Lawatan teknikal ini telah memberikan pendedahan kepada delegasi JKR Sabah mengenai operasi kilang, proses pembuatan serta beberapa jenis produk konkrit yang berkaitan dengan sektor pembinaan dan infrastruktur.

Maklumat yang diperoleh diharap dapat dimanfaatkan sebagai rujukan awal dalam memahami produk konkrit yang ditawarkan oleh pihak syarikat. Sebarang penggunaan produk bagi projek JKR Sabah hendaklah dibuat berdasarkan keperluan teknikal dan spesifikasi yang ditetapkan.

