Screenshot 2026-07-27 103829

KOTA KINABALU, 21 JUL – Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menganjurkan Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya Malaysia Tahun 2026 dari 19 hingga 21 Julai 2026 yang dirasmikan oleh Menteri Kerja Raya, YB. Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Majlis tersebut menjadi platform mengeratkan hubungan strategik serta memperkukuh kerjasama antara Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Kerja Raya Malaysia, JKR Sarawak, JKR Sabah dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam memperkasakan pembangunan sektor pembinaan negara.

Bertemakan “Game Changer Pembinaan: Memperkasa Pendigitalan dalam Ekosistem Pembinaan Pintar”, bertujuan untuk membincangkan isu utama serta hala tuju pembangunan infrastruktur negara. Pengisian program memfokuskan kepada amalan terbaik projek mega nasional seperti ECRL, cabaran fasa kritikal Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, serta kepentingan integrasi digital dalam penyelenggaraan aset demi keselamatan rakyat.

Program ini turut menyaksikan Sesi Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KKR dengan JKR Sabah dan JKR Sarawak bagi penggunaan premis kerajaan negeri untuk penubuhan Makmal MyBIM Malaysia serta sesi Menandatangani Deklarasi Data Aset Jalan (DDJ).

Pada hari kedua, Sesi Executive Talk diteruskan dengan pembentangan “Sinergi Mega: Mengadaptasi Kecemerlangan Strategik dan Operasi ECRL dalam Memperkasa Standard Infrastruktur Nasional” oleh Encik Mohd Nizam Daut, Penolong Pengarah Projek (Infrastruktur), Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL).

YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, turut menyampaikan pembentangan bertajuk “Sinergi Keluarga Raya: Merangkum Resolusi 2025 dan Mengemudi Masa Depan Infrastruktur Negara”.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kerja Raya, Sektor Lebuhraya Pan Borneo, JKR Sabah, Ir. Mohammad Safri bin Abd Habi telah membentangkan mengenai isu dan cabaran pelaksanaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah.

Program turut diisi dengan Wacana Strategik Lebuhraya Pan Borneo Sabah: Sinergi Agensi dalam Penyelarasan Utiliti, yang melibatkan panel daripada Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB), Telekom Malaysia dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Selain itu, Wacana Strategik Pendigitalan Pembinaan: Integrasi Digital daripada Kitaran Hayat Aset turut diadakan dengan penyertaan panel daripada UEM Edgenta, PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Kombinasi Saudagar Sdn. Bhd. dan Glodon.

Dan YBhg Datu Adj. Prof. Ir. Ts. Gs. Br. PMr. QPr. Dr. Cassidy Anak Morris, Pengarah Kerja Raya Sarawak menyampaikan pembentangan bertajuk “Water Bag Surcharging for Ground Treatment”.

Kemudian, delegasi meneruskan lawatan meninjau perkembangan terkini projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah WP11 yang merangkumi jajaran dari Rampayan Laut ke Sarang.

Pada hari ketiga, lawatan diteruskan ke Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) Sabah serta Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah WP05 yang melibatkan kerja-kerja menaik taraf jalan dari Donggongon ke Simpang Jalan Papar Spur.

Program Kolaborasi Strategik Kerja Raya 2026 melabuhkan tirainya dengan Sesi Rumusan dan Pemeteraian Resolusi yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (KKR), YBhg. Datuk Seri Azman Ibrahim, serta disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

About The Author