PITAS, 29 JUL – Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sabah telah menganjurkan Seminar Pengukuhan Integriti Dalam Pelaksanaan Projek Kerajaan bertemakan “Dari Perancangan ke Pelaksanaan: Integriti Tanpa Kompromi” di Dewan Jabatan Kerja Raya Pitas.

Penganjuran seminar ini bertujuan meningkatkan kesedaran, memperkukuhkan kefahaman mengenai tadbir urus yang baik serta memupuk budaya kerja berintegriti dalam pelaksanaan projek dan pengurusan perolehan kerajaan. Program ini turut memberi penekanan kepada usaha pencegahan rasuah dalam sektor perolehan yang melibatkan pegawai teknikal khususnya jurutera, pihak konsesi dan kontraktor.

Seramai 53 orang peserta dari daerah Kudat, Kota Marudu dan Pitas telah menyertai seminar ini yang terdiri daripada jurutera, penolong jurutera, wakil syarikat konsesi yang dilantik serta kontraktor.
Antara objektif utama seminar adalah untuk memperkukuhkan kerjasama strategik dalam menangani isu ketirisan dan kelemahan tadbir urus dalam pengurusan projek kerajaan, menggalakkan pewujudan mekanisme kawalan dalaman yang lebih berkesan bagi menutup ruang berlakunya rasuah, menyuburkan nilai-nilai integriti dalam kalangan warga kerja serta meningkatkan tahap akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam penyampaian perkhidmatan.

Program dimulakan dengan Ceramah 1 bertajuk “Satu Tandatangan, Seribu Risiko” yang disampaikan oleh Yang Berbahagia Penolong Kanan Pesuruhjaya Alexander S. Kunghi, Timbalan Pengarah (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sabah. Ceramah tersebut memberi pendedahan mengenai risiko penyalahgunaan kuasa, konflik kepentingan dan tanggungjawab pegawai awam dalam membuat keputusan berkaitan perolehan kerajaan.
Seterusnya, para peserta menyertai Kuiz Interaktif dan Kajian Penilaian Antirasuah (KPAR) sebagai medium untuk mengukur tahap kefahaman berkaitan integriti dan pencegahan rasuah.
Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Ir. Zainazah binti Ahmad Banjar, Timbalan Pengarah Sektor Khidmat Teknikal, sebelum seminar dirasmikan oleh Yang Berbahagia Penolong Kanan Pesuruhjaya, Alexander S. Kunghi. Turut berlangsung ialah Majlis Lafaz dan Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai manifestasi komitmen warga kerja dan rakan strategik dalam membudayakan integriti serta menolak sebarang bentuk rasuah dan penyelewengan.

Pada sebelah petang, peserta mengikuti Ceramah 2 bertajuk “Semak, Nilai dan Perbaiki” yang disampaikan oleh Wahab bin Sami, Penolong Pengarah Audit Negara, Sabah. Ceramah ini menekankan kepentingan kawalan dalaman, pematuhan terhadap prosedur serta penambahbaikan berterusan dalam pengurusan projek kerajaan. Sesi soal jawab yang diadakan turut memberi peluang kepada peserta mendapatkan penjelasan berkaitan isu-isu tadbir urus dan audit yang sering dihadapi dalam pelaksanaan projek.

Penganjuran seminar ini mencerminkan komitmen berterusan Jabatan Kerja Raya Sabah bersama SPRM Negeri Sabah dalam memperkukuhkan budaya integriti, meningkatkan akauntabiliti serta memastikan pelaksanaan projek kerajaan dilaksanakan secara telus, beretika dan bebas daripada amalan rasuah.
