NABAWAN, 14 OGOS – Semangat patriotisme jelas membara di daerah Nabawan apabila seramai 80 peserta membabitkan 32 buah kenderaan pacuan empat roda daripada pelbagai agensi dan jabatan kerajaan menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang dan Hari Sabah Peringkat Daerah Nabawan Tahun 2026.

Konvoi yang menempuh perjalanan sejauh 25 kilometer tersebut bermula di Dewan Terbuka Majlis Daerah Nabawan dan berakhir di Kampung Salarom Baru, Nabawan.
Program bermula seawal pagi dengan sesi taklimat keselamatan serta bacaan doa yang dipimpin oleh Pegawai Jabatan Penerangan bagi memastikan kelancaran program. Acara pelepasan rasmi konvoi kemudiannya disempurnakan oleh Pegawai Daerah Nabawan pada jam 9.50 pagi.
Antara agensi utama yang dijemput khas bagi memeriahkan kembara ini ialah Jabatan Kerja Raya (JKR) Nabawan, yang dihadiri sendiri oleh Jurutera Daerah, Ahmad Fairuz bin Yunus. Kehadiran JKR Nabawan bersama agensi-agensi lain mencerminkan komitmen padu serta sinergi utuh antara penjawat awam dalam menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan.

Setibanya di destinasi penamat di Kampung Salarom Baru, rombongan konvoi disambut meriah oleh penduduk setempat dengan paluan gong tradisional. Pengisian program diserikan lagi dengan aktiviti mesra bersama penduduk kampung bagi merapatkan hubungan silaturahim antara pihak kerajaan dan masyarakat akar umbi.
Majlis perasmian dan pengisian aktiviti kemasyarakatan tersebut telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Nabawan, Ts Marshal Anthony, yang hadir mewakili Ahli Parlimen Pensiangan, YB Dato’ Seri Arthur Joseph Kurup.

Program seumpama ini bukan sahaja bertujuan memupuk semangat cintakan tanah air melalui kibaran Jalur Gemilang dan bendera Sabah, malah menjadi platform terbaik dalam memperkukuh perpaduan selaras dengan aspirasi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah pada tahun ini.
