PUTATAN, 18 OGOS – Satu Bengkel dan Sesi Perkongsian Teknikal antara Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Siemens Malaysia Sdn. Bhd. telah diadakan bagi memperkukuh pertukaran pengetahuan teknikal serta hubungan profesional antara kedua-dua organisasi.

Sesi tersebut merangkumi beberapa bidang utama, antaranya Sistem Pengurusan Bangunan (Building Management System – BMS) generasi baharu, pengoptimuman tenaga, pendigitalan dan teknologi bangunan pintar, integrasi sistem serta penyelesaian keselamatan kebakaran dan sekuriti. Penekanan turut diberikan kepada penggunaan teknologi bangunan pintar bagi tujuan pemantauan dan kawalan berpusat, integrasi sistem bangunan dengan sistem pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara (Heating, Ventilation and Air-Conditioning – HVAC) serta infrastruktur mekanikal sedia ada. Selain itu, penggunaan teknologi Internet of Things (IoT) dan analitik data turut diketengahkan bagi menyokong penyenggaraan pencegahan, meningkatkan kecekapan operasi serta memperkukuh amalan pengurusan fasiliti.
