SEMPORNA, 13 OGOS – YB Datuk Limus Jury, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah telah mengadakan lawatan kerja ke daerah Semporna bagi meninjau serta mendapatkan perkembangan terkini berkaitan projek-projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan.

Dalam lawatan tersebut, satu sesi taklimat dan perbincangan telah diadakan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Air Sabah (JAS) Semporna di Pejabat JKR Semporna.
Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut, Datuk Ridhwan Roger Linus, Setiausaha Tetap Kementerian, Jasni Abu Suffyan Omar, TSUT, Mas Syazwan bin Datuk Haji Masood, Pegawai Daerah Semporna, YB Dato Dr Hj. Jaujan (ADUN N.64 Sulabayan), YB Jamil bin Hamzah (ADUN N.66 Bugaya), wakil Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air Sabah, Jabatan Tanah dan Ukur, Sabah Electricity serta kontraktor-kontraktor yang terlibat.

Sesi tersebut antara lain membincangkan perkembangan dan isu-isu berkaitan projek Kampung Baru, SK Bubul dan Loji Sungai Intan , termasuk status semasa kerja, perkara teknikal serta beberapa isu di tapak yang memerlukan tindakan dan penyelarasan bersama antara jabatan, agensi utiliti dan pihak kontraktor.
YB Datuk Limus Jury turut meminta semua pihak yang terlibat supaya memberi perhatian terhadap perkara-perkara yang dibangkitkan dan memastikan tindakan susulan dapat dilaksanakan dengan segera.

Kerjasama antara jabatan, wakil rakyat dan pihak kontraktor amat penting bagi memastikan projek yang dilaksanakan berjalan lancar dan memberi manfaat kepada penduduk setempat.
Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya di daerah Semporna melalui kerjasama semua agensi kerajaan yang berkaitan.
