• September 1, 2023
  • 867

Sambutan Hari Kebangsaan 2023

Sambutan Hari Kebangsaan 2023

KOTA KINABALU, 31 OGOS – Sebanyak 114 kontinjen dan 28 pelbagai jenis kenderaan menyertai perbarisan serta perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Sabah di Dataran Bandaraya, semalam.

Sambutan yang disaksikan ribuan pengunjung itu bermula pada kira-kira jam 7 pagi sejurus ketibaan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Turut hadir isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah RM Jasni, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan isteri, Datin Seri Julia Salag serta tiga Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan, Datuk Dr. Joachim Gunsalam dan Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Tun Juhar memeriksa kawalan kehormatan utama yang membabitkan seramai 113 anggota dari Batalion Ke-22, Rejimen Askar Melayu Diraja, Sandakan yang diketuai Mejar Mohd Adam Embi.

Perarakan itu dimulakan dengan menampilkan acara lintas lalu udara membabitkan helikopter dari Pasukan Gerakan Udara Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang menggegarkan ruang udara Kota Kinabalu.

Turut menyertai perbarisan ialah kontinjen mewakili persatuan kebudayaan etnik, badan bukan kerajaan dan syarikat swasta.

Jabatan Kerja Raya Sabah berjaya mendapat tempat ke-2 dalam acara Pertandingan Kawad Perbarisan Kategori Jabatan Kerajaan Tidak Berpakaian Seragam Rasmi.