8

PITAS, 28 MEI – JKR Pitas telah berjaya melaksanakan Program Ibadah Korban Tahun 2026 yang diadakan di kawasan lapang berumput di belakang Stor JKR Pitas dan perkarangan jabatan.

​Program tahunan ini telah dihadiri dan dijayakan oleh kakitangan JKR Pitas bersama ahli keluarga masing-masing dalam suasana yang penuh meriah dan harmoni. Sebanyak dua (2) ekor lembu yang cukup besar dan berisi telah dikorbankan untuk menyempurnakan tuntutan ibadah korban.

Pelaksanaan program ini berjalan dengan lancar mengikut struktur organisasi yang telah dirancang melalui mesyuarat terdahulu. Proses menumbang dan menyembelih lembu dilakukan secara bergotong-royong oleh Jawatankuasa Sembelihan di bawah pimpinan Aziz Mansul dengan dibantu oleh kakitangan lelaki serta ahli keluarga yang hadir.

​Seterusnya, aktiviti melapah, menghiris dan menimbang daging dilakukan secara bersama di bawah khemah persediaan yang beralaskan kanvas biru. Jawatankuasa yang diketuai oleh Jurutera Daerah bersama kakitangan wanita dan pembantu-pembantu yang lain kelihatan bekerjasama erat dalam memotong dan membungkus daging korban. Semua daging qurban yang telah siap ditimbang dan dibungkus dengan rapi sedia untuk diagihkan mengikut ketetapan.

Pengagihan ini diuruskan oleh Jawatankuasa Mengedar Daging di bawah seliaan Hazizul bin Ismail yang diagihkan mengikut formula syarak iaitu sebahagian dijadikan masakan jamuan kelompok (sup tulang dan kari daging), sebahagian untuk peserta serta keluarga, dan satu pertiga lagi diserahkan kepada golongan fakir miskin yang memerlukan.

Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja berjaya memenuhi tuntutan syiar Islam, malah menjadi medan terbaik untuk memperkukuh ukhuwah, menyemarakkan semangat gotong-royong, serta merapatkan hubungan silaturahim antara warga kerja jabatan dan keluarga. Semoga ibadah korban ini diterima di sisi Allah SWT dan membawa keberkatan yang melimpah-limpah kepada seluruh warga JKR Pitas dan ahli keluarganya.

About The Author