Screenshot 2026-08-06 193055

KOTA KINABALU, 4 OGOS – Cawangan Penyenggaraan Jalan telah menganjurkan Bengkel Penilaian Prestasi Kerja Penyenggaraan Konsesi dan Kontraktor serta Notis Penutupan Jalan yang dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Sektor Jeraya, Hafez Shabuddin.

Bengkel tersebut diadakan bagi memberi pendedahan kepada pegawai JKR Daerah berkaitan kaedah pemarkahan terhadap prestasi kerja penyenggaraan dan pembaikan jalan yang dilaksanakan oleh kontraktor di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah mengikut spesifikasi yang dipersetujui dan ditetapkan dalam kontrak bersama konsesi penyenggaraan jalan yang disampaikan oleh Penolong Pengarah, Cawangan Penyenggaraan Jalan, Nasrullah bin Arifuddin.

Dalam bengkel tersebut, peserta turut diperkenalkan kepada aplikasi dashboard baharu bagi pengurusan notis penutupan jalan. Aplikasi ini membolehkan proses penyediaan dan pengeluaran notis dilaksanakan dengan lebih cepat dan tepat berbanding kaedah pengisian borang secara manual yang memerlukan tempoh pemprosesan beberapa hari.

Sesi pengenalan dan penerangan aplikasi tersebut telah disampaikan oleh penceramah daripada Elegant Aspire Sdn. Bhd., Mohd Farizansyah bin Farid.

Bengkel itu melibatkan pegawai-pegawai JKR daerah serta syarikat konsesi JH Cinta Mata, Globincao, DCTF dan YTO Group.

Program diakhiri dengan ucapan penutupan oleh Ketua Penolong Pengarah Cawangan Penyenggaraan Jalan, Mohd Hardy Laidin@Saidin.

About The Author