TAWAU, 20 OGOS – Satu Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas bagi Jurutera Mekanikal JKR Bahagian Tawau telah berlangsung dengan jayanya. Majlis ini menandakan peralihan tanggungjawab secara rasmi daripada Mohd Fadhlan Haniff bin Ameenudeen kepada Mohd Hafiz bin Zainal sebagai pegawai yang menerima tugas.


Majlis ini menjadi simbolik bagi kesinambungan pengurusan serta pelaksanaan tanggungjawab dalam memastikan segala urusan berkaitan bidang kejuruteraan mekanikal di JKR Bahagian Tawau dapat diteruskan dengan lancar dan teratur.
Kemuncak majlis adalah Upacara Menandatangani Nota Serah Tugas dan Penyerahan Fail Kerja, sebagai simbolik peralihan tanggungjawab serta amanah daripada pegawai penyerah kepada pegawai penerima. Upacara tersebut turut disaksikan oleh Mohammad Izam bin Jamal, Jurutera Bahagian Kawasan Selatan.

Majlis diteruskan dengan sesi bergambar kenangan bersama warga jabatan serta penyampaian cenderahati sebagai tanda penghargaan dan kenangan.
Seluruh warga JKR Tawau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mohd Fadhlan Haniff bin Ameenudeen atas segala jasa, sumbangan dan khidmat bakti sepanjang melaksanakan amanah sebagai Jurutera Mekanikal. Pada masa yang sama, warga jabatan mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas kepada Mohd Hafiz bin Zainal. Semoga segala amanah dan tanggungjawab yang diberikan dapat dilaksanakan dengan penuh dedikasi serta terus membawa kecemerlangan kepada organisasi.

“Jasa dikenang, amanah diteruskan. Semoga segala usaha dipermudah dan diberkati demi kecemerlangan organisasi serta kesejahteraan masyarakat.”
