PITAS, 22 Jun – Satu siri lawatan kerja oleh Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah, telah diadakan di tapak Projek Pembinaan Jambatan Bailey (Bailey Bridge) Pias Kanibongon.

Lawatan tersebut turut disertai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bengkoka, Datuk Harun Durabi, Pegawai Daerah Pitas Asdi @ Mohd. Faizal bin Hussin, wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) N.3, Ramlah binti Nasir, rombongan teknikal kementerian, serta wakil teknikal daripada Cawangan Jalanraya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Ibu Pejabat.

Lawatan kerja ini bertujuan meninjau status fizikal projek jambatan berkenaan yang dibina sebagai laluan perhubungan sementara bagi penduduk Kampung Pias Kanibongon selepas struktur jambatan terdahulu runtuh akibat bencana alam pada Mac lalu.
Projek pembinaan jambatan tersebut telah berjaya disiapkan sepenuhnya lebih awal daripada jadual, iaitu pada 13 Jun 2026. Penyiapan awal projek ini membolehkan penduduk setempat kembali menikmati kemudahan perhubungan yang lebih selamat dan selesa, sekali gus memperkukuh jaringan pengangkutan serta menyokong kelancaran aktiviti harian komuniti.

Dalam lawatan tersebut, Dato’ Sri Dr. Ruddy Awah menegaskan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan keperluan rakyat dan komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya di daerah Pitas, melalui kerjasama erat dengan semua agensi kerajaan yang berkaitan.

Beliau turut mengumumkan bahawa sebuah jambatan kekal akan dibina pada tahun hadapan bagi menggantikan Jambatan Bailey (Bailey Bridge) sementara yang digunakan pada masa ini. Pembinaan jambatan kekal itu dijangka memberikan kemudahan perhubungan yang lebih berkualiti, selamat dan mampan kepada penduduk setempat untuk jangka panjang.
